Agensi berita Reuters melaporkan, sumber rapat dengan operasi mencari dan menyelamat memaklumkan anak perempuan Lynch yang berusia 18 tahun dikenali sebagai Hannah, masih belum ditemukan setakat ini.
Sumber itu menambah, mayat Lynch yang berusia 59 tahun ditemukan pada Khamis, menjadikan mangsa yang dijumpai meningkat kepada lima.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan mayat Hannah antara yang telah ditemukan bersama dengan mayat Lynch.
Bagaimanapun, setakat ini pihak berkuasa belum mengesahkan identiti mayat mangsa yang ditemukan.
Kapal layar mewah sepanjang 56 meter dikenali sebagai "Bayesian" itu terbalik pada pagi Isnin.
Dalam kejadian itu, 15 orang berjaya diselamatkan termasuk isteri Lynch, Angela Bacares, manakala enam dilaporkan hilang.
Media melaporkan, Lynch, yang merupakan salah seorang usahawan teknologi terkenal di United Kingdom (UK) telah menjemput rakan-rakannya untuk menyertainya di kapal layar tersebut bagi meraikan pembebasannya.
Mayatnya telah dihantar ke hospital berhampiran.
Antara yang terkorban adalah cef kapal layar, Recaldo Thomas, yang mayatnya ditemukan beberapa jam selepas kapal itu karam.
Pasukan penyelamat telah mencari di dalam badan kapal layar sejak tiga hari lalu, tetapi operasi menghadapi cabaran disebabkan kedalaman dan ruang yang sempit untuk diterokai.