Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan menyatakan bahawa peluang untuk menemui enam individu yang masih hilang adalah tipis.
Kejadian berlaku pada awal pagi Isnin akibat ribut.
Jurucakap agensi perlindungan awam di wilayah pulau Sicily, Francesco Venuto memberitahu Xinhua bahawa sehingga petang Selasa, penyelam masih bergelut memasuki kabin kapal dipercayai mangsa hilang yang mungkin terperangkap di dalamnya.
Namun, oksigen dalam kapal layar adalah terhad dan peluang mangsa untuk hidup semakin berkurangan.
"Kami menemui kapal layar itu sekitar 50 meter di bawah permukaan air, tetapi penyelam belum dapat mengakses kabin dalam.
"Kami menjejaki kawasan itu dengan helikopter dan bot, tetapi tiada tanda keenam-enam mangsa. Mereka mungkin berada di dalam kapal, dan persoalannya hanya sama ada mereka masih hidup atau tidak," kata Venuto.
Kapal layar mewah sepanjang 56 meter yang dikenali sebagai 'Bayesian' itu membawa 12 penumpang dan 10 kru sebelum ia karam.
Setakat ini, 15 orang berjaya diselamatkan dan satu mayat ditemukan.
Pihak berkuasa juga mengesahkan bahawa enam penumpang yang hilang ialah jutawan teknologi Mike Lynch, anak perempuannya yang berusia 18 tahun, Hannah Lynch, pengerusi syarikat perbankan dan kewangan gergasi Morgan Stanley International, Jonathan Bloomer, isterinya Judy, seorang aktivis; pereka barang kemas Neda Morvillo dan suaminya, bekas peguam AS untuk Daerah Selatan New York, Chris Morvillo.
Kebanyakan mangsa yang terselamat berada di atas atau berhampiran dek kapal ketika kejadian berlaku.
Lapan daripada 15 mangsa yang diselamatkan telah dibawa ke hospital. - BERNAMA