JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo secara rasmi melantik tiga menteri baharu dan seorang timbalan menteri di Istana Negara Jakarta, susulan rombakan kabinet Indonesia Maju.

Di sebalik menghampiri penghujung penggal pemerintahan Presiden pada 20 Oktober, rombakan tersebut menyaksikan Jokowi melantik Bahlil Lahadalia sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, menggantikan Arifin Tasrif.

Bahlil yang sebelum ini merupakan Menteri Pelaburan dan Ketua Lembaga Penyelaras Pelaburan akan digantikan oleh Rosan Roeslani yang sebelum ini Timbalan Menteri Badan Usaha Milik Negara.

Supratman Andi Agtas dilantik sebagai Menteri Hukum (undang-undang) dan Hak Asasi Manusia Indonesia, mengambil alih daripada Yasonna Laoly manakala Angga Raka Prabowo dilantik sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat.

Pelantikan lain termasuk Hasan Nasbi sebagai Ketua Pejabat Komunikasi Presiden, Dadan Hindayana sebagai Ketua Agensi Pemakanan Nasional yang baru ditubuhkan dan Taruna Ikrar sebagai Ketua Agensi Penyelia Makanan dan Ubat-ubatan.

Rombakan itu bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan pentadbiran Joko Widodo, menyelaraskannya dengan keutamaan dasar beliau serta memastikan peralihan kuasa kepada Presiden Terpilih Prabowo Subianto berjalan lancar.


Menerusi hantaran di media sosial beliau, Jokowi berharap mereka yang dilantik dapat menjalankan tugas dan amanah dengan menjunjung tinggi etika jabatan dan rasa tanggung jawab kepada bangsa dan negara serta sebagai bentuk pengabdian kepada bangsa dan negara.