KUALA LUMPUR: Anggota Kabinet baharu yang diumumkan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto perlu membuktikan prestasi kerja yang jelas kepada rakyat. 


Ringkasan AI
  • Prestasi Kabinet Baharu: Anggota kabinet baharu yang diumumkan oleh Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, perlu membuktikan prestasi kerja yang jelas kepada rakyat dan bukan sekadar pembahagian kuasa politik. Saiz Kabinet: Kabinet Prabowo yang terdiri daripada 109 anggota adalah yang terbesar sejak kejatuhan Suharto, dan perlu menunjukkan keberkesanan dalam melaksanakan dasar, terutama oleh lantikan anak muda. Politik Akomodatif: Kabinet ini mencerminkan amalan politik akomodatif untuk memastikan kestabilan politik Indonesia, yang penting untuk pelaburan dan ekonomi negara.


Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Antarabangsa Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. OK Mohammad Fajar Ikhsan berkata, 109 orang Menteri, Timbalan Menteri dan ketua-ketua jabatan yang dilantik tidak boleh dilihat sekadar diberi jawatan sebagai tindakan berbahagi kuasa antara orang politik semata-mata.

“Sistem Kabinet yang terlalu ‘gemuk’ pimpinan Presiden Indonesia Prabowo Subianto perlu menunjukkan kepada masyarakat bahawa 109 ahli Kabinet ini bukan sekadar nama dan pembahagian kuih dalam demokrasi transaksional sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Kabinet ‘gemuk’ Prabowo perlu buktikan prestasi, bukan sekadar berbahagi kuasa - Pakar

Mohammad Fajar membandingkan Kabinet Prabowo dengan saiz Kabinet Amerika Syarikat dan China yang masing-masing dianggotai oleh 26 orang sahaja.

Oleh yang demikian, beliau menegaskan peranan besar melaksanakan dasar yang perlu dimainkan oleh lantikan dalam kalangan anak muda dalam Kabinet tersebut.

Tambahnya lagi, barisan Kabinet Prabowo merupakan gambaran amalan politik akomodatif yang diamalkan republik itu dan disifatkan sebagai suatu yang sihat.

“Politik akomodatif yang dijalankan Prabowo yang mana dia tidak mahu ada orang yang tertinggal. Politik kompromi seperti ini telah berlaku dalam politik Indonesia sejak lima tahun lalu. 

“Politik kompromi ini adalah untuk memastikan agar politik Indonesia lebih stabil. Ini bagus dalam konteks pelaburan, menjaga struktur ekonomi dan Pelaburan Langsung Asing (FDI),” tambahnya.

Prabowo mengumumkan Kabinetnya hanya beberapa jam selepas mengangkat sumpah pada Ahad dengan Sri Mulyani Indrawati kekal sebagai Menteri Kewangan, menandakan kesinambungan dasar dalam ekonomi terbesar di Asia Tenggara.

Kabinet Prabowo yang terdiri daripada 109 anggota adalah yang terbesar sejak kejatuhan diktator Suharto pada 1998 dan dipenuhi dengan beberapa sekutu terdekatnya.

Kira-kira satu pertiga daripada jawatan Kabinet dipegang oleh penyandang dari pentadbiran sebelumnya di bawah pentadbiran Joko Widodo (Jokowi), termasuk Sri Mulyani.