Bercakap di Kompleks Parlimen, di sini, pada Isnin, Muzani menegaskan, pada dasarnya parti pimpinan Presiden Prabowo Subianto itu terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertainya, lapor agensi berita ANTARA.
“Namun, keputusan muktamad tetap terletak pada beliau (Jokowi), dan kami (Gerindra) akan mengadakan kongres pada Februari 2025,” katanya.
Muzani, yang juga Speaker Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) berkata demikian ketika mengulas kepada pertemuan antara Prabowo dan Jokowi di kediaman Prabowo di Jakarta pada Jumaat lepas, sambil menjelaskan bahawa Gerindra tidak secara khusus menawarkan keahlian kepada bekas presiden itu semasa pertemuan berkenaan.
“Tiada tawaran khusus dibuat. Namun, secara prinsipnya, Gerindra adalah sebuah parti yang terbuka,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, Jokowi menyertai Prabowo untuk makan malam atas jemputan Prabowo sebagai respons kepada pertemuan sebelumnya di kampung halaman Jokowi di Solo, Jawa Tengah, pada 3 November 2024.
“Kunjungan sebegini adalah tradisi biasa. Orang saling kunjung-mengunjungi. Pak Jokowi merasakan perlunya melawat Pak Prabowo selepas kunjungan Pak Prabowo ke Solo,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua tokoh nasional itu hanya membincangkan perkara ringan semasa pertemuan pada Jumaat lepas.
Terdahulu, pada 4 Disember, Setiausaha Agung Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) Hasto Kristiyanto mendedahkan, Jokowi tidak lagi menjadi ahli parti itu.
Menurutnya, Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka dan bekas Datuk Bandar Medan, Bobby Nasution juga tidak lagi mempunyai hubungan dengan parti yang dipimpin oleh bekas Presiden Megawati Soekarnoputri itu.
“Saya tegaskan bahawa Pak Jokowi dan keluarganya bukan lagi sebahagian daripada PDIP,” kata Hasto di Jakarta. - BERNAMA-ANTARA
MK