JAKARTA: Pentadbiran di bawah presiden terpilih Indonesia, Prabowo Subianto merancang untuk melaksanakan program pemeriksaan kesihatan percuma bermula tahun depan membabitkan 52 juta penduduk.


Ringkasan AI
  • Pentadbiran Prabowo Subianto akan melaksanakan program pemeriksaan kesihatan percuma untuk 52 juta penduduk, dengan peruntukan sekitar Rp5 trilion (RM1.36 bilion), bermula tahun depan.
  • Program ini akan memberi keutamaan kepada penduduk berusia lebih 50 tahun dan mereka yang berpotensi menghidap tuberkulosis (TBC), dengan pemeriksaan rutin seperti tekanan darah dan gula dalam darah.
  • Pemeriksaan kesihatan percuma ini dijangka dilakukan dua kali setahun, dengan sasaran 500 juta pemeriksaan dalam tempoh lima tahun pemerintahan Prabowo.


Menurut Ketua Pejabat Komunikasi Kepresidenan Hasan Nasbi, peruntukan bagi menjayakan program berkenaan dianggarkan sekitar Rp5 trilion (kira-kira RM1.36 bilion).

“Ini salah satu rancangan untuk pentadbiran Prabowo. Ini akan beri keutamaan kepada penduduk berusia lebih 50 tahun dan mereka yang berpotensi menghidap tuberkulosis (TBC).

“Ini adalah langkah serius untuk memastikan aspek kuratif kesihatan tidak menjadi beban.

"Jika kes TBC meningkat, ia akan menjadi masalah besar,” katanya dalam satu sidang media, di sini, pada Rabu.

Dalam program itu, penduduk akan menjalani pemeriksaan rutin seperti tekanan darah, gula dalam darah, asid urik dan potensi penyakit katastropik lain.

Hasan berkata, pemeriksaan kesihatan percuma itu berkemungkinan dilakukan dua kali setahun dengan sasaran 500 juta rakyat diperiksa dalam tempoh lima tahun pemerintahan Prabowo.

Hasan merupakan Jurucakap TKN Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka pada Pilihan Raya Presiden 2024.

Pelantikan Presiden terpilih Prabowo Subianto dijadual pada 20 Oktober ini menggantikan Joko Widodo selepas dua penggal memimpin republik itu.