Ringkasan AI
- Bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo, menyatakan beliau menghormati keputusan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) untuk memecatnya, walaupun beliau tidak berada dalam kedudukan untuk mencabar keputusan tersebut.
- PDI-P secara rasmi memecat Jokowi, anaknya Gibran Rakabuming Raka, dan menantunya Bobby Nasution, serta 27 pengikut lain daripada parti tersebut. Keputusan ini diumumkan oleh Ketua Umum PDI-P, Megawati Soekarnoputri, dan Setiausaha Agung parti, Hasto Kristiyanto.
- PDI-P menyatakan bahawa Jokowi dan keluarganya tidak lagi sejalan dengan cita-cita parti dan memiliki cita-cita kekuasaan yang tiada henti. Amalan politik mereka dianggap sebagai pengajaran berharga untuk menjalankan disiplin parti.
Memetik laporan Kompas, Jokowi yang ditemui di kediamannya di Kota Solo, Jawa Tengah berkata, beliau tetap menghormati keputusan dibuat parti tertua republik itu.
Namun, Jokowi secara sinis berkata hanya waktu yang akan membuktikan sama ada keputusan dibuat ketua umum PDI-P, Megawati Soekarnoputri dan Setiausaha Agung parti, Hasto Kristiyanto benar atau salah.
“Ya tidak apa, saya menghormati itu dan saya tidak dalam posisi untuk membela atau memberikan penilaian kerana keputusan sudah terjadi.
"Nanti waktu yang akan mengujinya. Saya rasa itu saja,” katanya lagi.
Media Indonesia pada Isnin melaporkan PDI-P secara umum dan rasmi telah memecat Jokowi, anaknya yang juga Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, dan menantunya, Bobby Nasution, serta 27 pengikut lain daripada parti berkenaan.
Pada 4 Disember, Hasto yang ditemui pemberita di Jakarta Selatan menegaskan Jokowi bukan lagi sebahagian daripada PDI-P.
"Jokowi dan keluarga sudah tidak lagi sejalan dengan cita-cita parti. PDI-P melihat Jokowi dan keluarganya memiliki cita-cita kekuasaan yang tiada henti.
"Selain itu, amalan politik yang dijalankan Jokowi dan keluarganya harus menjadi pengajaran berharga kepada semua pihak untuk menjalankan disiplin parti," kata Hasto.