Ringkasan AI
- Doktrin Dahiya: Israel menggunakan Doktrin Dahiya dalam operasi ketenteraannya ke atas Lubnan dengan menyasarkan infrastruktur dan lokasi tumpuan awam untuk mencetuskan pemberontakan terhadap Hezbollah. Sejarah Pencerobohan: Israel telah beberapa kali menceroboh Lubnan, termasuk pada tahun 1982 dan 2006, dengan tujuan mengusir Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan melemahkan Hezbollah. Kesan Serangan: Serangan Israel baru-baru ini menyebabkan sekurang-kurangnya 1,356 kematian dan 690,000 orang kehilangan tempat tinggal di Lubnan, yang sudah mengalami krisis ekonomi yang teruk.
Bekas Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Datuk Dr. Ilango Karuppannan berkata, doktrin itu dengan sengaja menyasarkan nadi ekonomi agar orang awam memberontak dan menggulingkan Hezbollah.
“Di Selatan Beirut ada satu kawasan yang bernama Dahiya. Satu kawasan yang diduduki oleh orang Syiah sahaja.
“Doktrin Dahiya ini bertujuan untuk membedil, mencederakan dan menyusahkan rakyat Syiah, supaya mereka memberontak, seterusnya menggulingkan Hezbollah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Jelasnya, Israel telah menggunakan pelbagai cara untuk mewujudkan ketidakstabilan di Lubnan bagi memastikan negara Islam itu tidak menjadi ancaman kepada Israel. Namun setiap cubaan tersebut gagal membuahkan hasil yang di inginkan oleh negara haram tersebut.
“Tahun 1982, Israel menceroboh sehingga ke Beirut dan usir keluar Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Kemudian, mereka menubuhkan proksi yang dikenali sebagai Tentera Selatan Lubnan dan mengawal kawasan selatan.
“Pada 2006, Israel bedil secara besar-besaran melalui serangan udara ke kawasan Hezbollah. Israel telah cuba semua cara ini dan mereka tahu jika mereka menceroboh Lubnan dengan bala tenteranya, ia akan mengundang masalah kepada Israel kerana rakyat tidak mahu tentera digerakkan ke negara lain,” ujarnya.
Israel meningkatkan serangan udaranya terhadap Hezbollah di Lubnan pada 23 September dan melancarkan serangan darat seminggu kemudian bertujuan untuk menolak kumpulan itu kembali dari sempadan utaranya.
Sekurang-kurangnya 1,356 orang terbunuh di Lubnan sejak Israel meningkatkan pengebomannya bulan lalu, menurut kiraan AFP berdasarkan angka Kementerian Kesihatan Lubnan, walaupun jumlah sebenar kemungkinan lebih tinggi.
Perang di Lubnan yang telah mengalami krisis ekonomi selama bertahun-tahun, telah menyebabkan sekurang-kurangnya 690,000 orang kehilangan tempat tinggal, menurut angka dari Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi.