TEL AVIV: Hanya segelintir pemimpin Amerika Syarikat (AS) yang senada dengan hasrat Presiden AS, Donald Trump untuk mengambil alih Gaza.

Itu tegas Senator Republikan AS, Lindsey Graham kepada media di Tel Aviv selepas delegasi dwipartisan Senat AS mengadakan pertemuan dengan pegawai Israel.

"Sebaik sahaja kita mengetahui siapa yang ingin kekal selepas diberi peluang untuk meninggalkan Gaza iaitu rakyat Palestin, apa langkah seterusnya?

"Saya telah bekerja selama dua setengah tahun untuk mencari penyelesaian terhadap isu Palestin yang boleh diterima oleh Israel dan disokong oleh dunia Arab.

"Pokok pangkalnya, tiada siapa yang menjangkakan Israel akan bersetuju dengan sebarang perjanjian berkaitan Gaza atau Tebing Barat yang boleh membawa kepada kejadian seperti 7 Oktober lagi.

"Tiada siapa yang menjangkakan Israel akan membiarkan Hamas kekal berkuasa, dan tiada siapa percaya bahawa Pihak Berkuasa Palestin (PA) dalam bentuknya sekarang adalah jawapan yang tepat.

"Satu perkara yang saya boleh katakan ialah saya melihat tiada keinginan dalam kalangan pemimpin Senat AS untuk AS mengambil alih Gaza dalam apa jua bentuk sekalipun. Saya fikir ia akan menjadi sesuatu yang sukar diterima di South Carolina," katanya.

Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza dibayangi oleh kenyataan Trump yang mencadangkan supaya penduduk Palestin dipindahkan.

Antara lain, beliau menuntut agar Gaza dibangunkan semula menjadi Riviera Asia Barat.

Sementara itu, Senator Demokrat, Richard Blumenthal, menyatakan perbincangannya dengan Raja Jordan, Raja Abdullah, meyakinkannya bahawa negara-negara Arab boleh mengemukakan alternatif yang "realistik" kepada Trump.

Ini termasuk menormalisasi hubungan dengan Israel, memberi rakyat Palestin hak menentukan masa depan mereka, serta mewujudkan kerjasama pertahanan serantau dan jaminan keselamatan untuk Israel.

Ujarnya jika pelan itu direalisasi, ia mampu menjadi titik perubahan besar bagi Asia Barat.