GAZA: Tentera Israel mendakwa memusnahkan sebanyak 130 terowong bawah tanah milik kumpulan pejuang Hamas sejak permulaan operasi darat di Gaza.

Dakwaan itu dibuat oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menerusi satu kenyataan.

Kata kenyataan itu, pasukan IDF sedang berusaha untuk mengesan dan memusnahkan infrastruktur pejuang Hamas termasuk terowong bawah tanahnya di Gaza.

Menurut kenyataan itu, bekalan air dan oksigen turut ditemukan dalam terowong itu yang menunjukkan persiapan Hamas untuk tinggal di bawah tanah.

Pada Khamis, IDF menerusi satu kenyataan mendakwa pasukannya memusnahkan sebuah terowong milik Hamas berhampiran sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di kawasan Beit Hanoun, utara Gaza.

IDF turut berkongsi video kamera dron yang didakwa memaparkan kemusnahan berlaku berhampiran sekolah itu.