JERUSALEM: Komander Hezbollah, Fu’ad Shukr didakwa telah terbunuh dalam serangan rejim Israel di selatan Lubnan pada Selasa, kata Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Pegawai paling kanan dalam pasukan pejuang Hezbollah itu menjadi sasaran Israel sebagai tindakan balas terhadap serangan roket rentas sempadan yang membunuh 12 remaja tiga hari yang lalu.

Satu letupan kuat kedengaran dan kepulan asap kelihatan di bandar selatan Beirut iaitu kubu kuat Hezbollah yang disokong Iran sekitar pukul 7.40 malam (waktu tempatan), kata seorang saksi kepada Reuters.

Dua sumber yang tidak dikenali memberitahu penyiar awam Israel Kan bahawa Israel menilai bahawa "sasaran serangan" telah terbunuh.

Tentera Israel sebelum ini berkata sasarannya ialah pasukan pejuang Hezbollah yang bertanggungjawab melakukan serangan roket di Dataran Tinggi Golan yang diduduki Israel pada hari Sabtu yang mengorbankan 12 pemuda di padang bola di perkampungan Druze, Majdal Shams.

Dua sumber keselamatan di Lubnan sebelum ini menamakan sasaran itu sebagai Muhsin Shukr atau dikenali sebagai Fuad Shukr yang juga Ketua Pusat Operasi Hezbollah.

Sumber berkenaan berkata, Fu’ad cedera parah dalam serangan di sekitar Majlis Syura Hizbullah di kawasan kejiranan Haret Hreik.

Dalam perkembangan sama, Menteri Kesihatan Lubnan, Firas Abiad memberitahu Reuters, serangan itu turut mengorbankan seorang lagi mangsa selain menyebabkan 35 orang lain kritikal.

Hezbollah sebelum ini telah menafikan penglibatan dalam serangan Golan, namun, mengakui menembak roket ke sasaran tentera di Bukit Golan. - Agensi