SEMENANJUNG GAZA: Kumpulan pejuang Palestin, Hamas, telah meluluskan senarai 34 tawanan yang dikemukakan oleh Israel untuk potensi pertukaran dalam perjanjian gencatan senjata, menurut seorang pegawai Hamas kepada Reuters pada Ahad.

Pegawai itu, yang bercakap dengan syarat identitinya dirahsiakan menegaskan, sebarang perjanjian adalah bergantung kepada persetujuan untuk pengunduran Israel dari Gaza serta pelaksanaan gencatan senjata kekal.

Bagaimanapun, pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan, Hamas masih belum menyediakan sebarang senarai.

Sementara itu, usaha para perantara dari Amerika Syarikat (AS) dan Arab untuk mencapai perjanjian semakin dipertingkatkan.

Namun, serangan udara Israel pada Ahad telah menyebabkan sekurang-kurangnya 14 rakyat Palestin terkorban dalam tiga serangan berasingan di Gaza, menjadikan jumlah korban hujung minggu kepada 102 orang, menurut petugas perubatan Palestin.

Tentera Israel berkata, mereka telah menyerang lebih daripada 100 sasaran di Gaza sepanjang hujung minggu, membunuh berpuluh-puluh pejuang Hamas.

Tentera itu juga menyebut mereka telah memusnahkan tapak pelancar roket yang digunakan untuk menyerang Israel dalam beberapa hari terakhir.

Tekanan semakin meningkat ke atas kedua-dua pihak untuk mencapai perjanjian gencatan senjata yang merangkumi pembebasan tawanan yang ditahan di Gaza sebelum Presiden AS yang bakal dilantik, Donald Trump, memegang jawatan secara rasmi pada 20 Januari ini. - Agensi