Bagaimanapun, Amerika Syarikat (AS) menyatakan keyakinan bahawa perjanjian itu masih akan dikuatkuasakan pada Ahad seperti yang dirancang.
Di Gaza, pesawat perang Israel meneruskan serangan sengit, dengan pihak berkuasa Palestin melaporkan sekurang-kurangnya 86 orang terbunuh pada Khamis, sehari selepas gencatan senjata diumumkan.
Mesyuarat Kabinet Israel pada Khamis mengundi perjanjian tersebut ditangguhkan, dengan Israel menyalahkan Hamas atas kelewatan itu.
Laporan media Israel menyatakan undian mungkin dilakukan pada Jumaat atau Sabtu dan perjanjian dijangka diluluskan.
Jurucakap White House, John Kirby berkata, Washington percaya perjanjian itu berjalan lancar dan gencatan senjata dalam konflik selama 15 bulan itu dijangka bermula "seawal hujung minggu ini."
Sebuah kumpulan yang mewakili keluarga tebusan Israel di Gaza, termasuk 33 orang yang dijadualkan dibebaskan dalam fasa pertama perjanjian enam minggu itu, mendesak Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk bertindak segera.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, sebelum ini berkata terdapat "masalah kecil" dalam rundingan yang perlu diselesaikan.
Seorang pegawai AS menyatakan isu tersebut melibatkan pertikaian mengenai identiti beberapa tahanan yang mahu dibebaskan oleh Hamas.
Utusan Presiden Joe Biden dan Presiden terpilih Donald Trump berada di Doha bersama perantara Mesir dan Qatar untuk menyelesaikan isu itu.
Pegawai kanan Hamas, Izzat el-Reshiq, menyatakan kumpulannya tetap komited kepada perjanjian gencatan senjata.
Undian dijangka Jumaat atau Sabtu
Di Gaza, kegembiraan terhadap pengumuman gencatan senjata bertukar menjadi kesedihan dan kemarahan akibat serangan udara yang semakin memuncak selepas pengumuman tersebut.
Kelulusan rasmi Israel terhadap perjanjian itu bergantung kepada Kabinet keselamatan dan kerajaan.
Netanyahu menangguhkan undian dengan menuduh Hamas membuat tuntutan saat akhir.
Pejabat Netanyahu menyatakan Kabinet tidak akan bersidang sehingga perantara memaklumkan bahawa Hamas menerima semua elemen dalam perjanjian itu.
Media Israel melaporkan undian dijangka berlaku pada Jumaat atau Sabtu, tetapi pejabat Perdana Menteri enggan mengulas mengenai jadual masa itu.
Sesetengah penganalisis politik berspekulasi bahawa permulaan gencatan senjata, yang dijadualkan pada Ahad, mungkin ditangguhkan jika Israel tidak menyelesaikan kelulusan sehingga Sabtu.
Golongan keras dalam kerajaan Netanyahu yang mendakwa perang belum mencapai matlamat untuk menghapuskan Hamas masih cuba menghentikan perjanjian itu.
Namun, majoriti menteri dijangka menyokong perjanjian tersebut.
Di Jerusalem, sebilangan rakyat Israel berarak membawa keranda olok-olok sebagai protes terhadap gencatan senjata, menghalang jalan raya dan bertembung dengan polis.
Penunjuk perasaan lain menyekat lalu lintas sebelum pasukan keselamatan meleraikan mereka.
Perjanjian gencatan senjata itu dimeterai pada Rabu hasil usaha perantaraan Qatar, Mesir, dan Amerika Syarikat.
Perjanjian itu memperuntukkan gencatan senjata selama enam minggu dengan pengunduran tentera Israel secara berperingkat.
Puluhan tebusan yang ditawan Hamas termasuk wanita, kanak-kanak, warga tua dan orang sakit akan dibebaskan sebagai pertukaran dengan ratusan tahanan Palestin yang dipenjarakan di Israel.
Ia juga membuka laluan kepada peningkatan bantuan kemanusiaan ke Gaza, di mana majoriti penduduk kini kehilangan tempat tinggal, menghadapi kebuluran, penyakit dan kesejukan.
Israel melancarkan kempen di Gaza selepas Hamas menyerbu kawasan sempadan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh 1,200 askar dan orang awam serta menculik lebih 250 tebusan.
Serangan Hamas itu adalah sebagai tindak balas terhadap penindasan yang telah dilakukan Zionis Israel selama berdekad lamanya terhadap penduduk Palestin di Gaza.
Jika berjaya, gencatan senjata ini akan menghentikan pertempuran yang telah memusnahkan sebahagian besar kawasan bandar di Gaza, membunuh lebih 46,000 orang dan mengakibatkan hampir seluruh populasi pra-perang seramai 2.3 juta orang menjadi pelarian. - Agensi