KAHERAH: Pasukan pejuang Palestin, Hamas menolak syarat baharu Israel yang dikemukakan dalam rundingan gencatan senjata Gaza.

Penolakan itu sekali gus mencetus keraguan mengenai peluang kejayaan dalam usaha terbaharu yang disokong Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan perang selama 10 bulan.

Rundingan selama berbulan gagal menghasilkan persetujuan untuk menamatkan kempen ketenteraan Israel yang dahsyat di Gaza atau membebaskan saki baki tebusan yang ditawan oleh Hamas dalam serangan kumpulan itu ke atas Israel pada 7 Oktober sekali gus menyebabkan perang yang tidak berkesudahan.

Perkara penting penolakan itu diberi penekanan dalam rundingan berterusan yang diterajui oleh AS, Mesir dan Qatar termasuk kehadiran Israel di Koridor Philadelphi iaitu sebidang tanah sepanjang 14.5 km di sepanjang sempadan selatan Gaza dengan Mesir.

Hamas berkata, Israel telah berundur daripada komitmen awal untuk menarik balik tentera dari Koridor tersebut dan mengemukakan syarat-syarat baharu termasuk saringan terhadap rakyat Palestin yang dipindahkan ketika mereka kembali ke bahagian utara Gaza yang lebih padat penduduknya apabila gencatan senjata bermula.

“Kami tidak akan menerima perbincangan tentang penarikan balik daripada apa yang telah kami persetujui pada 2 Julai atau syarat-syarat baharu,” kata pegawai Hamas, Osama Hamdan kepada Al-Aqsa TV, pada Ahad.

Pada Julai lalu, Hamas menerima cadangan AS untuk memulakan perbincangan mengenai pembebasan tebusan Israel termasuk tentera dan lelaki, 16 hari selepas fasa pertama perjanjian yang bertujuan untuk menamatkan perang di Gaza, menurut seorang sumber kanan Hamas kepada Reuters.

Osama juga berkata, Hamas telah menyerahkan maklum balas mereka berhubung cadangan terbaharu kepada perunding dan menegaskan, perbincangan mengenai perjanjian yang didakwa oleh AS akan tercapai adalah tidak benar.