PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dalam reaksi segera susulan insiden tembakan terhadap bekas presiden Donald Trump mendesak agar keganasan politik ditamatkan.

Tegas beliau, tiada ruang untuk keganasan di negara itu dan beliau mahu semua pihak mengecam insiden tersebut.

“Saya telah diberi taklimat terperinci oleh semua agensi dalam kerajaan persekutuan mengenai situasi ini berdasarkan apa yang kita ketahui sekarang.

"Saya telah cuba menghubungi Trump. Dia bersama pasukan perubatannya ketika ini. Nampaknya, dia berada dalam keadaan baik. Saya merancang untuk bercakap dengannya sebentar lagi. 

"Tiada tempat di AS untuk kekerasan seperti ini. Ia sesuatu yang tidak sihat. Inilah salah satu sebab mengapa kita perlu menyatukan negara ini.

"Kita tidak boleh membiarkan hal ini berlaku. Kita tidak boleh menjadi seperti ini. Kita tidak boleh merestui kejadian ini," katanya.

Biden juga mengucapkan terima kasih kepada Perkhidmatan Rahsia AS dan semua agensi terlibat yang berjaya memastikan keselamatan orang ramai terjamin.

"Kami akan berkongsi butiran lanjut selepas ini,” katanya pada satu sidang media susulan insiden tembakan tersebut.

Jelasnya, perhimpunan Trump adalah perhimpunan yang sepatutnya boleh berlangsung dengan aman, tanpa sebarang masalah.

Namun, katanya, kemungkinan bahawa terdapat keganasan politik di AS, tidak pernah didengarinya dan tidak sepatutnya berlaku.

Pada masa sama, Bidan berkata, pihaknya sedang menyiasat secara menyeluruh apa yang berlaku, termasuk dalam kalangan mereka yang menghadiri kempen tersebut.

“Kami mempunyai beberapa laporan tetapi bukan laporan akhir. Dan saya akan kembali untuk bercakap dengan setiap agensi persekutuan yang terlibat.

"Mereka akan memberi saya taklimat terkini jika ada apa-apa berlaku atau jika mereka memperoleh sebarang maklumat dalam masa beberapa jam yang lepas," tambahnya.

Biden berkata beliau akan mengadakan sidang media semula jika beliau dapat berhubung dengan Trump dan sekiranya ada fakta baru yang boleh dikongsi.

Terdahulu, Trump dilaporkan ditembak ketika hadir pada perhimpunan kempen calon Pilihan Raya Presiden AS di Pennsylvania pada Sabtu waktu tempatan.

Susulan itu, bekas presiden AS itu dilihat berdarah di telinganya sebelum pegawai penguat kuasa undang-undang bersenjata meluru ke arahnya dan membawanya pergi.