SUBANG JAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi meluangkan masa menziarahi jenazah Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) Rozaid Abdul Rahman di kediamannya di sini.

Ahmad Zahid, yang tiba pada 11.30 malam, meluangkan masa kira-kira 20 minit menyantuni ahli keluarga wartawan veteran itu.

Turut hadir menziarahi bekas Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian itu ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Rozaid, 59, meninggal dunia petang Ahad di rumahnya di Putra Heights dekat sini akibat masalah jantung.

Difahamkan jenazah beliau akan disolatkan di Masjid Putra Heights pada 8.30 pagi hari ini dan dikebumikan di Sungai Dua, Pulau Pinang.

Beliau dilantik sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PMO pada 23 Mei 2023.

Berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama lebih 40 tahun, wartawan veteran itu sebelum ini menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang sejak 1 Julai dan dibenarkan keluar dari hospital pada 6 Ogos lepas.

Sementara itu, Fahmi berkata Rozaid banyak berjasa dalam bidang kewartawanan negara.

"Saya cukup sedih dengan pemergian arwah yang banyak berjasa dengan dunia kewartawanan di Malaysia," katanya kepada Bernama di kediaman Allahyarham.

-- BERNAMA