KUALA BERANG: FELCRA Bhd meraih keuntungan boleh agih bagi tempoh akhir 2024 berjumlah RM192.51 juta menerusi Projek Peserta FELCRA, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika mengumumkannya hari ini, beliau berkata jumlah itu merupakan lonjakan sebanyak 154 peratus atau RM116.3 juta berbanding tempoh sama pada 2023.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata keuntungan dijana daripada 583 projek itu akan diagihkan secara berperingkat mulai hari ini kepada 68,400 peserta.

"Saya mengucapkan tahniah kepada FELCRA Bhd di atas kejayaan mengekalkan prestasi cemerlang dengan keuntungan lebih RM192.51 juta.

"Ini adalah bukti dedikasi dan kerja keras seluruh pasukan dalam memperkasakan ekonomi luar bandar," katanya ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Kampung Kuala Akob di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata peningkatan itu juga menjadikan purata pendapatan bersih setahun bagi seorang peserta meningkat kepada RM4,420.

Selain itu, pelaksanaan strategi penjimatan kos pengeluaran turut menyumbang kepada pengurangan kos lebih RM401 bagi setiap hektar.

"Matlamat FELCRA Bhd adalah untuk memastikan setiap peserta menerima agihan keuntungan minimum RM150 setiap ekar setiap bulan atau RM1,800 setiap ekar setahun sebagai jaminan kesejahteraan kepada peserta," katanya.

Ahmad Zahid berkata FELCRA Bhd sebelum ini telah melaksanakan pembayaran Interim 1 berjumlah RM96 juta kepada peserta pada Jun 2024 dan disusuli dengan pembayaran Interim 2 pada September 2024 berjumlah RM129 juta.

FELCRA Bhd secara keseluruhannya bagi 2024 berjaya mencatatkan keuntungan boleh agih sebanyak RM521.9 juta iaitu peningkatan 138.4 peratus berbanding 2023.

Beliau juga menyifatkan angka itu sebagai membuktikan komitmen jitu FELCRA dalam memastikan pesertanya turut menikmati hasil pembangunan negara.

-- BERNAMA