IZMIR: Anggota bomba Turkiye sedang bergelut dalam memadamkan beberapa kebakaran hutan pada Ahad, dengan angin kencang menyukarkan usaha mereka untuk mengawal kebakaran besar di pinggir Izmir, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Kebakaran yang pada satu ketika mengancam kawasan perumahan di Daerah Karsiyaka, kini berjaya dihalang, hasil usaha hampir 3,000 anggota kecemasan yang bertarung dengan api di Gunung Yamanlar sejak Khamis malam.

Di Daerah Urla, Wilayah Izmir, satu lagi kebakaran hutan tercetus lewat Sabtu malam dan sebuah kawasan percutian dengan 440 rumah telah dikosongkan, menurut Gabenor Wilayah Suleyman Elban, seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Anadolu.

Menteri Pertanian Ibrahim Yumakli melaporkan terdapat lapan kebakaran hutan yang masih aktif di Turkiye.

Kementerian Dalam Negeri menyatakan bahawa tujuh orang telah ditahan dan dua lagi diberkas kerana disyaki terlibat dalam beberapa kebakaran itu.

Izmir dan kawasan peranginan tepi laut berhampirannya adalah destinasi percutian yang popular.

Turkiye berdepan gelombang haba dan kemarau sejak awal musim panas, mempercepatkan penyebaran kebakaran hutan. Julai adalah bulan terpanas di Turkiye dalam tempoh 53 tahun, menurut Direktorat Meteorologi Turkiye.

Negara jiran, Greece, juga baru-baru ini berhadapan dengan kebakaran hutan besar di timur laut Athens di tengah-tengah suhu yang melambung tinggi.

-- BERNAMA