IPOH: Projek Pembangunan Bandar Sarung Tangan Integrasi di Bidor yang diusahakan sebuah syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia, dijangka mewujudkan anara 5,000 hingga 5,000 peluang pekerjaan, khususnya kepada penduduk setempat.

Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, projek itu dijangka siap dan mula beroperasi pada suku pertama tahun 2023.

“Kerja tanah telah berjalan di tapak projek, dan akan diikuti dengan pembinaan bangunan kilang serta infrastruktur sokongan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (PH – Chenderiang) di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi memastikan perjalanan projek ini berjalan lancar, sebuah jawatankuasa kerja Center of Investment (COI), (COI@Glove City) telah ditubuhkan.

Menurut Shahrul Zaman, secara umumnya, pihak syarikat akan lebih mengutamakan pengambilan pekerja daripada kalangan penduduk tempatan dalam memastikan sumber tenaga kerja yang lebih mudah dicapai, berbanding pengambilan pekerja dari luar.

“Malah, pihak syarikat bakal menggunapakai kelengkapan teknologi moden dalam operasi kilang yang membuatkan kebergantungan kepada buruh am terutama daripada kalangan warga asing dapat dikurangkan,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga menjangkakan dengan pembangunan sesebuah kawasan industri yang besar seperti itu akan memberi impak positif kepada ekonomi setempat.

Menjawab soalan wakil yang sama, Shahrul Zaman memberitahu, pihak Gas Malaysia Berhad kini dalam proses membangunkan jajaran paip gas asli dari Changkat Jong ke Bidor untuk keperluan syarikat sarung tangan itu.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sedang berbincang dengan pihak Gas Malaysia Berhad untuk menyambung jajaran paip gas asli tersebut daripada Bidor ke Proton City di Tanjung Malim.

“Maka jajaran ini bakal merentasi kawasan-kawasan berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan perindustrian dalam daerah Batang Padang,” kata beliau.