ALOR SETAR: Sebanyak RM15.26 bilion pelaburan telah direalisasikan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) melalui kerjasama antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan kerajaan negeri Kedah dalam tempoh tujuh bulan pertama 2024.

Ketua Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan berkata menerusi pelaburan itu, sebanyak 1,700 peluang pekerjaan telah diwujudkan.

"Jumlah berkenaan berjaya mengatasi realisasi pelaburan sebanyak RM5.43 bilion yang dicatatkan untuk tempoh sama tahun lepas. Prestasi baik ini menjadi bukti keberkesanan Pelan Pembangunan Strategik NCER dan NCIA turut yakin prestasi keseluruhan tahun ini akan berjaya melepasi pencapaian tahun 2023 di Kedah.

"Tahun ini, NCIA juga telah memperkenalkan inisiatif FaCi@NCER yang bertujuan mempercepatkan proses merealisasikan pelaburan di NCER dengan menghubungkan pelbagai pihak pemegang taruh dalam sebuah rantaian proses kelulusan yang komprehensif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata industri peranti perubatan merupakan elemen penting dalam sektor pembuatan bernilai tinggi yang telah berkembang maju di Kedah terutama di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan kawasan perindustrian di sekitar Sungai Petani.

Katanya sejak 2019, NCIA berjaya merealisasikan pelaburan kumulatif sebanyak RM34.8 bilion dan lebih 16,000 peluang pekerjaan diwujudkan dalam sektor pembuatan bernilai tinggi di Kedah.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.56 bilion telah disumbangkan oleh industri peranti perubatan dengan lebih 1,600 peluang pekerjaan mahir dan separa mahir berjaya diwujudkan.

"Saya yakin menerusi Pelan Pembangunan Strategik NCER, Kedah mampu menjadi hab pembuatan peranti perubatan pilihan bukan sahaja di peringkat tempatan malah berdaya saing di peringkat global pada masa hadapan," katanya.

Terdahulu, prestasi pelaburan NCER bagi Kedah diumumkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini.

-- BERNAMA