Ringkasan AI
- KWSP merekodkan pendapatan pelaburan bersih RM63.48 bilion bagi tahun 2023 mengikut piawaian pelaporan kewangan yang ketat.
- Pelaburan KWSP dalam MAHB mencatat keuntungan RM102 juta dan membantu meningkatkan kadar dividen kepada 5.50% untuk Simpanan Konvensional dan 5.40% untuk Simpanan Shariah.
- KWSP menegaskan komitmen terhadap ketelusan, akauntabiliti dan profesionalisme dalam mengurus dana ahli.
Dalam satu kenyataan, KWSP berkata setiap keputusan pelaburan telah melalui penilaian ketat sejajar dengan mandat KWSP, dengan keutamaan diberikan kepada pemeliharaan nilai jangka panjang.
"Memandangkan simpanan persaraan adalah kepentingan nasional, KWSP kekal teguh dalam komitmennya untuk melindungi dan mengembangkan dana ahli dengan profesionalisme, akauntabiliti, dan ketelusan," katanya.
Kenyataan itu bagi merujuk kepada perbincangan terkini mengenai prestasi kewangannya untuk tahun 2023 dan pelaburannya dalam Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Sejajar dengan komitmennya untuk melindungi kesejahteraan kewangan jangka panjang lebih daripada 16 juta ahli, KWSP ingin menangani kebimbangan dan kekeliruan yang telah timbul, katanya.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2023, KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM66.99 bilion, dengan pendapatan pelaburan bersih berjumlah RM63.48 bilion, konsisten dengan jumlah yang dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Kewangan II.
"Angka-angka ini sejajar dengan kerangka pelaporan KWSP yang mematuhi Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS)," katanya.
KWSP menegaskan bahawa tiada sebarang kesilapan, salah nyata, atau usaha untuk menyembunyikan maklumat, seperti yang didakwa.
Pengumuman itu juga dilaporkan di laman webnya https://www.kwsp.gov.my/en/w/epf-sustains-solid-performance-for2023 bertajuk KWSP Kekalkan Prestasi Kukuh dengan Dividen 5.50 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 5.40 peratus untuk Simpanan Shariah" pada 3 Mac, 2024.
Mengenai harga transaksi saham MAHB pada 2023, KWSP menjelaskan bahawa Julat harga RM5.40 hingga RM7.36 sesaham yang disebut sebelum ini adalah merujuk kepada soalan yang dikemukakan di Parlimen oleh seorang Ahli Parlimen.
"Semakan terhadap semua transaksi sepanjang tahun 2023 mengesahkan bahawa julat harga sebenarialah RM6.80 hingga RM7.70 sesaham.
"Jumlah keuntungan direalisasikan daripada transaksi ini ialah RM102 juta, merangkumi keuntungan modal serta dividen yang dijana oleh pengurus dana dalaman dan luaran," katanya.
Ia berkata jumlah RM100.7 juta yang disebut dalam perbincangan sebelum ini tidak mengambil kira sebahagian dividen yang diterima daripada pengurus dana luaran dan kini telah diperbetulkan.
Pelaburan KWSP dalam MAHB turut menyumbang kepada prestasi KWSP. Hasil daripadaini, KWSP telah mengisytiharkan dividen lebih tinggi bagi tahun 2023, iaitu 5.50 peratus bagi Simpanan Konvensional (berbanding 5.35 peratus pada 2022), dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion, dan5.40 peratus bagi Simpanan Shariah (berbanding 4.75 peratus pada 2022), dengan jumlah agihan sebanyak RM7.48 bilion.
KWSP berkata pihaknya kekal komited terhadap ketelusan dan mengalu-alukan dialog konstruktif bersama pembuat dasar, pihak berkepentingan, dan orang ramai bagi memastikan dasar-dasarnyaterus berkhidmat demi kepentingan terbaik negara serta ahli KWSP.
-- BERNAMA
