Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata MAROI, yang bermaksud "Malaysia Sedap", berfungsi sebagai platform penting bagi jenama dan produk Malaysia untuk menembusi pasaran Thailand.
"Pelbagai jenama dari Malaysia telah berjaya memasuki pasaran Thailand melalui MAROI, yang sekali gus membuka peluang pekerjaan dan memacu kemajuan ekonomi setempat," katanya selepas majlis perasmian festival itu malam tadi.
Festival MAROI 2024 itu telah menarik lebih 60,000 pengunjung.
Ia dianjurkan oleh UNITI Asia Link Sdn Bhd dengan kerjasama Syarikat One Stop Center Co. Ltd dan ASEAN Mall, Pattani, serta disokong oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Bangkok.
Menurut Ahmad Fahmi, selain Malaysia, MAROI juga berjaya menarik minat penyertaan negara anggota ASEAN lain untuk meneroka peluang pasaran di wilayah selatan Thailand.
"Saya ingin menyeru kepada para usahawan dari Malaysia, Indonesia, dan negara-negara ASEAN lain untuk terus meneroka peluang di Pattani. Kerajaan Malaysia sentiasa menyokong usaha seperti ini agar ia dapat berkembang secara progresif dan berdaya tahan," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa Pattani dan wilayah selatan Thailand merupakan lokasi strategik yang menyuburkan pertumbuhan ekonomi ASEAN.
"Keupayaan penduduknya untuk berkomunikasi dalam dwibahasa, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Thai, membuka ruang yang lebih luas bagi perdagangan dua hala," katanya.
Beliau berkata kedudukan geografi strategik dan pembangunan pesat Pattani menawarkan peluang besar kepada pelabur asing, yang sekali gus meningkatkan pendapatan per kapita dan kuasa beli penduduk setempat.
"Hal ini tentunya memberi impak positif kepada sektor perdagangan dan pelancongan bagi kedua-dua negara, Malaysia dan Thailand," katanya.
-- BERNAMA