Dengan enam pejabat antarabangsa di Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Amerika Latin, Indonesia dan kini Malaysia, syarikat itu melihat cawangan terbaharunya sebagai hab strategik bagi aktiviti eksportnya di Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ickhyun Shin memberitahu Bernama bahawa pejabat baharu ini melambangkan komitmen syarikat untuk menyokong aspirasi Malaysia ke arah masa depan yang lebih kukuh dan berdikari.
“Melalui program penyesuaian tempatan yang berkesan dan Program Kolaborasi Industri (ICP), kami berhasrat memperkukuh asas industri Malaysia, menjana peluang pekerjaan bernilai tinggi, serta memupuk inovasi tempatan.
“Dengan memindahkan teknologi dan memudahkan pengeluaran tempatan, kami bercita-cita untuk menyumbang secara signifikan kepada keupayaan pertahanan negara, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan keupayaan pertahanan serantau,” katanya.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Duta Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung Bae dan Pengarah Serantau LIG Nex1 Pejabat Malaysia, Osung Lee.
Yeo menegaskan kehadiran strategik LIG Nex1 di Malaysia bukan sekadar membekalkan alatan pertahanan, tetapi juga menjadikan negara ini sebagai “platform pelancaran” untuk memperluaskan kerjasama industri pertahanan di Asia Tenggara.
“Ini adalah mengenai membina perkongsian strategik yang saling menguntungkan.
“Dengan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan tempatan, inisiatif seperti LIG Nex1 akan berkongsi kepakaran dan pengalaman Korea, sambil meningkatkan keupayaan pengeluaran tempatan, mencipta pekerjaan dan memacu pertumbuhan bersama,” katanya.
Ditubuhkan pada 1976 sebagai Goldstar Precision, LIG Nex1 kini merupakan antara syarikat pertahanan terkemuka Korea Selatan yang pakar dalam bidang seperti Munisi Berpandu Tepat (PGM), Risikan, Pengawasan dan Peninjauan (ISR), Peperangan Elektronik (EW) serta Pusat Perintah, Kawalan, Komunikasi, Komputer dan Risikan (C4I).
-- BERNAMA