BARCELONA yang kembali terjerumus dalam kemelut kewangan menyebabkan masa depan salah seorang pemain utama, Dani Olmo, dalam tidak ketentuan.

Pemain itu menyertai kelab itu dari RB Leipzig dalam perjanjian bernilai AS$60 juta (RM270j) pada musim panas lalu.

Bagaimanapun, khidmatnya tidak dapat digunakan dalam LaLiga selepas gergasi Catalan itu terlepas tarikh akhir mendaftarkannya dan perkembangan yang tidak dijangka ini telah mencetuskan spekulasi mengenai perpindahannya dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dilaporkan sedang memantau situasinya.

Karier Olmo di Barcelona bermula dengan cemerlang setelah dia menyumbang enam gol dalam 15 penampilan di sebalik pendaftarannya hanya sementara tatkala menunggu proses pematuhan kewangan selanjutnya oleh Barcelona.

Kini, LaLiga enggan berkompromi lagi dengan proses itu selepas 31 Disember lalu, sekali gus meletakkan masa depan Olmo di kelab berkenaan samar-samar.

LaLiga mengesahkan bahawa Barcelona gagal membentangkan penyelesaian yang boleh diterima bagi memenuhi peraturan kawalan ekonomi yang ditetapkan.

Akibatnya, Olmo dan rakan pemainnya, Pau Victor, terpaksa disisihkan daripada senarai skuad rasmi kelab. - Stadium Astro