BERLIN: Jumlah kematian akibat nahas udara global meningkat mendadak pada 2024, dengan 334 orang terkorban dalam kemalangan melibatkan penerbangan awam, lapor media Jerman pada Isnin, memetik data awal yang dikeluarkan oleh Persatuan Penerbangan Jerman (BDL).

Angka korban itu melibatkan penumpang, anak kapal, dan tujuh individu di darat, lapor agensi berita Xinhua yang memetik laporan itu.

Angka ini menunjukkan peningkatan ketara, lebih empat kali ganda berbanding 80 kematian yang dicatatkan pada 2023.

Statistik ini merangkumi kemalangan yang melibatkan pesawat dengan kapasiti tempat duduk sekurang-kurangnya 14 penumpang.

Data bagi insiden melibatkan pesawat kecil belum tersedia, manakala kemalangan melibatkan pesawat tentera tidak termasuk dalam laporan itu.

Walaupun BDL melaporkan peningkatan kemalangan udara sejak mencapai angka terendah pada 2017, persatuan itu menyatakan bahawa keselamatan penerbangan telah mencatat kemajuan besar dalam beberapa dekad, dengan trend jangka panjang menunjukkan penurunan kadar kemalangan secara berterusan.

"Penerbangan adalah kira-kira 53 kali lebih selamat tahun lepas berbanding pada tahun 1970-an," kata Pengarah Urusan BDL Joachim Lang.

Tragedi udara paling buruk pada 2024 berlaku pada 29 Disember apabila pesawat Boeing 737-800 yang dikendalikan oleh Jeju Air dari Korea Selatan meletup dan terbakar selepas merempuh tembok konkrit di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan semasa mendarat.

Nahas itu meragut 179 nyawa penumpang. Siasatan mengenai punca kejadian masih dijalankan.

-- BERNAMA