Punca kematiannya masih dalam siasatan, namun pihak berkuasa tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah.
Portal hiburan antarabangsa, TMZ melaporkan pada Sabtu, mayat Bryar ditemui dalam keadaan sudah hampir reput oleh petugas Animal Control yang ditugaskan untuk mengambil dua ekor anjing di kediaman itu.
Bryar, 44 tahun, merupakan pemain dram paling lama bersama My Chemical Romance, dan menyertai band itu selepas pelancaran album Three Cheers for Sweet Revenge pada tahun 2004, menggantikan pemain dram sebelumnya, Matt Pelissier.
Dia turut serta dalam beberapa siri konsert jelajah kumpulan itu dan menyumbang dalam album paling laris mereka, The Black Parade.
Dia meninggalkan kumpulan itu pada 2010 atas alasan 'perbezaan haluan kreatif', sebelum bersara sepenuhnya daripada industri muzik pada 2014 dan menceburi bidang hartanah.
Selain itu, Bryar turut mula fokus dengan kerja amal menyelamatkan haiwan serta melelong banyak barangan memorabilia bersama MCR untuk membiayai usahanya.
Bryar juga pernah berkongsi di media sosial bagaimana dia bergelut dengan tekanan selepas terpaksa menarik diri dari MCR.
"Sudah kira-kira lima tahun sejak saya 'ditendang keluar' daripada MCR. Saya menjadi orang yang paling tertekan, sentiasa marah, malah pernah rasa mahu mengambil nyawa sendiri.
"Sekarang, saya mengambil begitu banyak pil dan saya berasa lebih baik tetapi (perselisihan faham) itu masih mengganggu saya setiap hari. Dalam perbualan baru-baru ini, saya diberitahu saya tidak akan kembali," katanya dalam kemas kini di X pada 2015.
My Chemical Romance dijadualkan mengadakan konsert jelajah bermula Julai 2025 bagi menyambut ulang tahun ke 18 album The Black Parade.