Ketika temu bual khas bersama Astro AWANI, baginda bertitah, dalam usaha konservasi Harimau Malaya di Malaysia terutamanya di Pahang, baginda mengumpul 30 renjer dari komuniti Orang Asli khususnya yang menetap di sekitar Taman Negara.
"Ini pertama kali saya buat program yang memberi peluang pekerjaan kepada Orang Asli khususnya di sekitar Taman Negara. Selain itu saya juga ada cadangan untuk menambah unit-unit renjer supaya menjadikan ranjer hutan Pahang untuk ke seluruh negeri.
"Pahang mempunyai populasi Orang Asli yang terbesar di Malaysia dan saya melihat ini (renjer) boleh dijadikan sebagai satu platform kerana mempunyai potensi yang baik.
"Bonda kita panggil Orang Asli, orang kita. Kita tak suka panggil Orang Asli," katanya di sini, selepas Pahang Tiger Summit ke-2, baru-baru ini.
Tengku Mahkota Pahang bertitah, Orang Asli mempunyak kepakaran dan ilmu yang luar biasa.
Baginda juga bertitah mahu kepakaran termasuk dalam aspek makanan, perubatan dan kesihatan dibukukan untuk generasi akan datang.
"Saya pergi pergi hiking bersama Orang Asli, tanpa disedari tangan saya terlanggar pokok dan menyebabkan seluruh tangan saya gatal.
"Lantas salah seorang daripada mereka (Orang Asli) masuk hutan cari daun dan terus tampal di tangan saya. Dalam satu jam, terus tangan saya jadi baik," titah baginda.