KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, menjejaki kenaikan semalaman Wall Street, kata seorang penganalisis.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.62 mata kepada 1,615.15 daripada 1,608.53 semalam.

Indeks barometer dibuka tinggi 3.29 mata kepada 1,611.82.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 316 berbanding 124, dengan 353 kaunter tidak berubah, 1,575 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 251.16 juta saham bernilai RM186.07 juta.

"Pergerakan pasaran dipengaruhi oleh sentimen pelabur berhubung potensi penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) minggu depan.

"Sentimen ini timbul selepas Laporan Pekerjaan Kebangsaan ADP AS menunjukkan bahawa majikan swasta menambah 152,000 pekerjaan pada Mei, turun daripada 188,000 pada April dan kira-kira 23,000 lebih rendah daripada jangkaan penganalisis," katanya kepada Bernama.

Akibatnya, beliau berkata perhatian beralih kepada laporan gaji bukan ladang (NFP) bulai Mei pada Jumaat.

"Pelabur percaya bahawa petunjuk kelemahan selanjutnya dalam pasaran buruh, digabungkan dengan penurunan inflasi, mungkin memberikan Rizab Persekutuan (Fed) keyakinan mencukupi untuk mengurangkan kadar faedah buat kali pertama dalam tempoh empat tahun," katanya.

"Di peringkat tempatan, kami tidak menjangkakan aktiviti pengambilan untung berterusan hari ini kerana pelabur mungkin mencari peluang untuk membeli saham mewah selepas kemerosotan pasaran semalam.

"Secara teknikalnya, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak antara 1,600 dan 1,620 mata hari ini, dengan paras sokongan pada 1,575 mata," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 2.0 sen kepada RM10.00, Public Bank naik 1.0 sen kepada RM4.14, Tenaga Nasional melonjak 32.0 sen kepada RM13.58, CIMB Group menambah 1.0 sen kepada RM6.90 dan IHH Healthcare menokok 3.0 sen kepada RM6.21.

Daripada saham aktif, JCY International meningkat 2.5 sen kepada 64 sen dan Kawan Renergy naik 5.0 sen kepada 69.5 sen manakala Dagang NeXchange, Velesto Energy dan XOX masing-masing tidak berubah pada 48 sen, 26 sen dan 1.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 49.44 mata kepada 12,289.42, Indeks FBMT 100 naik 45.73 mata kepada 11,889.54, Indeks FBM Emas Shariah menambah 63.24 mata kepada 12,550.66, Indeks FBM 70 menokok 55.42 mata kepada 17,593.56 dan Indeks FBM ACE naik 17.34 mata kepada 5,484.95.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 41.90 mata kepada 17,633.07, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.36 mata kepada 196.93, Indeks Tenaga meningkat 3.21 mata kepada 955.53, Indeks Perladangan meningkat 6.96 mata kepada 7,144.08, manakala Indeks Pembinaan merosot 0.54 kepada 246.00.

-- BERNAMA