KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini apabila aktiviti belian saham pada harga rendah berlaku selepas penurunan semalam.

Pada 9.09 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.22 mata kepada 1,615.59 daripada 1,614.37 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks barometer dibuka tinggi 2.63 mata kepada 1,617.00.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 312 berbanding 154, dengan 374 kaunter tidak berubah, 1,560 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 432.30 juta saham bernilai RM159.70 juta.

"Pendapat secara konsensus adalah Fed akan mengekalkan kadar faedah susulan data pekerjaan yang kukuh pada Jumaat lepas.

"Oleh itu, Dow Jones memperoleh 69 mata manakala Nasdaq menambah 59 mata apabila hasil 10 tahun AS meningkat tinggi pada 4.471 peratus," katanya.

Beliau berkata perkembangan positif itu, ditambah dengan peningkatan harga minyak mentah Brent ditutup lebih tinggi pada US$82 setong, mungkin menyaksikan FBM KLCI berlegar antara julat 1,610-1,620 hari ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) berlangsung hari ini dan berakhir esok (12 Jun), angka inflasi AS bagi bulan Mei juga akan dikeluarkan esok.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional naik enam sen kepada RM13.78, KLK meningkat 28 sen kepada RM21.14, CelcomDigi menambah dua sen kepada RM3.86, MISC menokok lima sen kepada RM8.63 dan Hong Leong Bank melonjak 10 sen kepada RM19.50.

Bagi saham aktif, SMTrack and Hubline tidak berubah masing-masing pada 4.0 sen dan 7.0 sen, Sin-Kung Logistics turun 0.5 sen kepada 17.5 sen manakala Pegasus dan PUC meningkat 0.5 sen masing-masing kepada 1.0 sen dan 6.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 10.25 mata kepada 12,366.26, Indeks FBMT 100 naik 8.37 mata kepada 11,937.35, Indeks FBM Emas Shariah menambah 20.46 mata kepada 12,682.77, Indeks FBM 70 menokok 9.81 mata kepada 17,845.38 dan Indeks FBM ACE naik 22.65 mata kepada 5,691.74

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 4.07 mata kepada 17,642.08, Indeks Tenaga menambah 8.55 mata kepada 991.40, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.14 mata kepada 198.16 manakala Indeks Perladangan meningkat 24.76 mata kepada 7,127.04.

-- BERNAMA