Namun, tugas saya dan beberapa kru Astro AWANI di Sabah – sebagai pengamal media masih belum selesai.
Sehari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, ada beberapa pihak berseloroh kepada saya: “Marilah pulang ke Kuala Lumpur, sebelum kena kuarantin.”
Tetapi, saya percaya individu itu yang pulang pada 25 September – sekarang ini juga perlu melalui tempoh kuarantin dan perintah pengawasan di rumah.
Pada 30 September, saya dan tiga lagi kru Astro AWANI berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan tiba di KLIA sekitar 7.30 malam.
Sehari sebelum itu, Editor Kanan Astro AWANI, Nazri Kahar dan jurukamera, Mad Ruzi Mad Saman selamat mendarat di ibu negara dan menjalani kuarantin di sebuah hotel.
Proses ujian saringan COVID-19 berjalan lancar di KLIA dengan bantuan para petugas Kementerian Kesihatan (KKM) walaupun saya akui bahawa hampir menitiskan air mata.
Sebaik ujian tersebut selesai, saya dibenarkan ke sebuah hotel untuk menjalani kuarantin.
Sejak hari pertama kuarantin, perkara yang paling ditunggu-tunggu adalah keputusan ujian saringan COVID-19.
Hari silih berganti dan malam bertukar siang. Selama tujuh hari keputusan ujian COVID-19 yang dibuat menggunakan teknik Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR), masih belum diketahui.
Saya cuba memahami situasi dan cabaran petugas barisan hadapan – peningkatan kes baharu COVID-19 sejak kebelakangan ini, sudah tentu menyaksikan banyak sampel ujian COVID-19 yang masih menunggu keputusan.
Namun, bukan mudah untuk ‘berlagak’ tenang sepanjang menunggu keputusan ujian saringan tersebut.
Setiap hari kita mendengar peningkatan kes COVID-19 daripada 317 kes pada 3 Oktober sehingga kepada kes paling tinggi yang dicatatkan di negara ini iaitu 691 kes pada 6 Oktober lalu.
Lebih mendebarkan apabila kebanyakan kes jangkitan datang dari Kluster Tembok di Kedah dan Sabah – negeri yang kebanyakan pengamal media berkampung lebih 14 hari, malah kru Astro AWANI sendiri ada sehingga 45 hari berada di Negeri Bawah Bayu itu.
Benarlah orang kata penantian itu satu penyiksaan!
Situasi sedikit merisaukan apabila beberapa pengamal media yang membuat liputan di PRN Sabah dilaporkan positif COVID-19.
Ada dalam kalangan mereka yang positif itu bersama-sama kami membuat liputan di lokasi yang sama.
Namun, berpegang kepada istilah tawakal dan keyakinan bahawa langkah-langkah pencegahan seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka telah diamalkan, maka saya cuba berfikiran positif sambil minum kopi di bilik kuarantin.
Rakan-rakan lain juga terpaksa menanggung perasaan yang sama – menunggu keputusan ujian saringan yang masih belum kunjung tiba seperti menanti buah gugur.
Manakan tidak, sepanjang PRN Sabah, pengamal media perlu ke pelbagai lokasi dan pelosok kampung serta mengikut kempen-kempen calon.
Bahkan, ada dalam kalangan kru Astro AWANI yang terpaksa bermalam di zon merah demi mendengar suara dan keluhan hati rakyat untuk tatapan masyarakat.
Ini kerana, kita sedar rakyat sudah jemu jika hanya mendengar ‘drama politik’.
Ini pastinya merisaukan kerana keadaan kesihatan kami bergantung kepada keputusan tersebut.
Lapan hari menunggu keputusan ujian saringan COVID-19 ibarat lapan minggu.
Penantian keputusan ujian tersebut seperti lebih “menyakitkan” berbanding menjalani ujian itu sendiri.
Namun, sekitar pukul 5 petang pada 8 Oktober – satu kumpulan WhatsApp baharu tiba-tiba muncul di telefon bimbit saya sebelum seorang doktor memperkenalkan diri beliau.
Kami lima orang dalam kumpulan tersebut – semuanya dari Astro AWANI.
“Nak ‘inform’, semua keputusan ‘swab’ adalah negatif," demikian kata doktor itu.
Mendengar sahaja perkataan ‘negatif’, beban yang dipikul dibahu seolah-olah mula hilang dengan sendirinya.
Penantian selama lapan hari dengan penuh kesamaran, akhirnya ternoktah.
Namun, saya dan rakan-rakan yang lain akan terus menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum pada Ahad (esok), kami perlu menjalani ujian menggunakan teknik Rapid Test Kit (RTK) atau kit ujian pantas.
Keputusan ujian ini boleh diketahui dalam tempoh 20 minit dan sekiranya keputusan tersebut menunjukkan negatif, maka hari ke-14 saya akan dibenarkan keluar dari pusat kuarantin.
Semoga semuanya berjalan lancar dan selamat tinggal gelang ‘pink’!
Terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang sabar berdepan cabaran ini.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!