Pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Wilayah Kumamoto itu menyaksikan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu terpaksa mengerah seluruh tenaganya untuk menumpaskan Justin dalam permainan rubber set 21-16, 12-21, 21-17 dalam tempoh 62 minit.
Pemain pilihan kelima kejohanan itu dijadual bertemu sama ada pemain tuan rumah Koo Takahashi atau wakil Taiwan Su Li Yang pada aksi pusingan kedua esok.
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao terpaksa bermandi peluh untuk melepasi halangan pertama dengan menewaskan pemain India Lakshya Sen 20-22, 21-17, 21-16.
Pemain nombor 31 dunia itu akan membuat perhitungan sama ada dengan pemain Indonesia Chico Aura Dwi Wardoyo atau pemain tuan rumah Koki Watanabe untuk penentuan suku akahir esok.
Dalam pada itu, beregu campuran negara Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum melangkah ke pusingan kedua dengan menumpaskan pasangan tuan rumah Yuta Watanabe-Maya Taguchi 18-21, 21-12, 21-14.
Menanti pilihan ketiga kejohanan itu di pusingan kedua, pasangan China Zhou Zi Hong-Yang Jia Yi yang menumpaskan pasangan Jepun Kazuhiro Ichikawa-Misaki Kurashma 21-17, 21-17 dalam satu lagi aksi pusingan pertama.
Gandingan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin turut mara ke pusingan kedua selepas mengetepikan pasangan tuan rumah Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara 21-18,21-19 dan dijadual bertemu gandingan Indonesia Rinoc Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari.
Berbeza nasib satu lagi gandingan beregu Chen Tan Jie-Toh Ee Wei yang terkandas selepas diketepikan pasangan Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 15-21, 12-21.
-- BERNAMA