Bagaimanapun jelas James yang juga bekas pemain perseorangan lelaki negara menegaskan, anak buah Wong Tat Meng kelahiran Alor Setar, Kedah itu juga kurang bernasib baik untuk meneruskan kemaraan kali ini selepas melakukan persediaan rapi bagi edisi Hangzhou.
"Sejujurnya, Zii Jia telah berjaya membuktikan kesungguhannya untuk membawa keputusan positif dalam Siri Jelajah Dunia Akhir kali ini.
"Keazaman tinggi itu diperagakan dalam dua perlawanan awal, sesuatu yang membanggakan melihat kepada peningkatan prestasi permainannya berbanding dalam beberapa kejuaraan sebelum ini.
"Ya, banyak juga perubahan dalam permainan Zii Jia kali ini dari segi teknik, dan mentaliti serta keyakinan biarpun masih beberapa kelemahan, namun secara keseluruhan persembahan Zii Jia terbaik.
"Tetapi dia agak tidak bernasib baik dalam perlawanan ketiga setelah menang set pertama, keazaman untuk menghabiskan perlawanan lebih awal mengundang kepada kecederaan dan seharusnya dia perlu berhati-berhati dalam aksi berintensiti tinggi selepas ini," katanya.
Sebelum itu, kecederaan buku lali kanan dialami Zii Jia menyaksikan pemain itu terpaksa melupakan impian untuk memburu gelaran juara di Hangzhou.
Pemain ranking nombor lapan dunia berdepan nasib malang semasa menentang wakil tuan rumah, Li Shi Feng dalam aksi terakhir Kumpulan A di Gimnasium Olimpik Hangzhou pada Jumaat.
Zii Jia bermula baik apabila menang set pertama 22-20, mendahului Shi Feng di set kedua sebelum mengalami cedera buku lali kanan.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu berusaha meneruskan permainan, namun terpaksa akur menarik diri ketika sedang memimpin permainan.
Kecederaan itu juga menyaksikan pemain berusia 26 tahun tersebut meninggalkan gelanggang menggunakan kerusi roda juga menyaksikan dua kemenangan awal ke atas wakil Taiwan, Chou Tien-chen dan Anders Antonsen (Denmark) yang mengesahkan laluan slot separuh akhir dibatalkan berdasarkan peraturan BWF.
Mengulas peraturan ditetapkan badan induk dunia itu, James berharap badan induk tersebut dapat melakukan kajian semula apabila menyifatkan sebagai sesuatu yang tidak adil kepada pemain.
"BWF wajar melihat semula kecederaan yang dialami pemain kerana mengharungi terlalu banyak pertandingan dan mengadakan perbincangan dengan pemain-pemain berkenaan perkara ini," katanya.
Mengenai penyertaan Zii Jia dalam Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Kuala Lumpur, dari 7 hingga 12 Januari depan, James berharap pemain itu memberikan sepenuh tumpuan kepada sesi pemulihan sebelum kembali semula ke gelanggang.
Malah jelas James, Zii Jia perlu pulih 100 peratus bagi memastikan insiden sama tidak berulang selain juga lebih bersedia untuk aksi pembuka tirai Siri Jelajah Terbuka BWF tahun 2025 berkenaan.
Zii Jia mengalami kecederaan buku lali kanan menyaksikan pemain itu terpaksa melupakan impian untuk memburu gelaran juara di Hangzhou. -- Sinar Harian