JAKARTA: Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun, mencipta kejutan apabila menewaskan pasangan pilihan tuan rumah yang juga beregu nombor empat dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto untuk merangkul gelaran juara Masters Indonesia 2025.

Pasangan ranking 13 dunia, Wei Chong-Kai Wun mempamerkan aksi cemerlang untuk menang dengan straight set ke atas gandingan tuan rumah yang mendapat sokongan padu di Istora Senayan di sini hari ini.

Pada awal set pertama, kedua-dua beregu bersaing sengit, namun Wei Chong-Kai Wun meningkatkan intensiti permainan sebelum menang 21-11.

Pada set kedua, pasangan negara kekal tenang dan konsisten untuk mencatat kemenangan 21-19 dalam aksi selama 38 minit, sekali gus membawa pulang wang tunai US$37,525 (RM164,284), manakala pasangan tuan rumah memperoleh US$18,050 (RM79,022).

Bercakap kepada media selepas kemenangan mereka, Wei Chong meluahkan kegembiraannya setelah berjaya memecahkan rekod empat kekalahan pada pertemuan sebelum ini.

"Kami sangat gembira akhirnya berjaya mencatat kemenangan ini, walaupun sokongan untuk pemain tuan rumah sangat kuat, kami tetap fokus kepada permainan kami.

"Secara keseluruhan, kami belum puas hati dengan prestasi sepanjang kejohanan ini kerana masih banyak kesilapan yang dilakukan. Kami akan terus memperbaiki kelemahan tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Kai Wun berkata mereka tidak merasa tertekan sepanjang perlawanan.

"Kami fokus pada setiap pukulan, memberikan tekanan kepada mereka, dan mengekalkan kelajuan permainan," katanya.

Kini, pasangan itu mengalihkan fokus mereka kepada Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) bulan depan dengan harapan untuk meneruskan prestasi cemerlang mereka.

-- BERNAMA