PENCAPAIAN memecah kebuntuan kejuaraan Masters Indonesia 2025 diharap mampu membuka lembaran baru buat beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Wei Chong sebaliknya memilih untuk tidak terleka dengan kejayaan sulung mereka dalam kejohanan bertaraf super 500 dengan menundukkan wakil tuan rumah, Fajar Alfian-Rian Ardianto, di Istora Senayan semalam. 

"Kami belum pernah memenangi kejohanan super 500, apatah lagi kami kalah empat kali berturut-turut kepada mereka jadi ini satu pencapaian yang baik buat kami. 

"Kami sangat gembira tapi esok merupakan hari baru dan kami tidak memikirkan terlalu banyak. 

"Kami hanya mahu memberi fokus kepada kejohanan berikutnya," katanya selepas menaiki podium.  

Kejayaan mereka itu secara tidak langsung meletakkan kem beregu negara dalam momentum terbaik selepas gandingan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izuddin Rumsani, turut cemerlang dalam Terbuka India minggu lalu. 

"Kami tidak terlalu memikirkan kesilapan lalu, sebaliknya fokus kepada permainan semasa. 

"Sudah pasti kejayaaan ini satu hadiah manis tapi selepas dua hari menyambut Tahun Baru Cina ini, kami akan segera kembali berlatih," tambah Kai Wun.