RUBEN Amorim menegaskan dia bukanlah seorang yang naif mengenai tugas sukar yang sedang menantinya sebagai pengurus baru Manchester United.

Amorim mengendalikan perlawanan terakhirnya sebagai pengurus Sporting CP pada Ahad dengan kemenangan 4-2 di laman Braga untuk mengekalkan permulaan sempurna mereka bagi Liga Primeira musim ini.

Pengurus berusia 39 tahun itu menamatkan karier cemerlangnya bersama kelab Portugal itu dengan memenangi 164 daripada 231 perlawanannya -- kemenangan setinggi 71 peratus yang merupakan rekod kelab.

Amorim tiba di Old Trafford selepas rentetan keputusan yang mengagumkan di bawah pengendali sementara, Ruud van Nistelrooy, yang tidak pernah ditewaskan dalam keempat-empat perlawanan di bawah pemantauan.

Walaupun ketibaan pengurus Portugis itu, selain keputusan positif sejak akhir-akhir ini, telah kembali merancakkan keadaan di Manchester, Amorim sedar betapa besarnya tanggungjawab yang perlu digalasnya.

"Saya rasa bersedia untuk cabaran baru," kata Amorim kepada pemberita selepas perlawanan terakhirnya di Sporting.


“Saya tidak naif, saya tahu ia akan menjadi cabaran yang sangat berbeza, sangat sukar.

"Saya kini tenang. Saya boleh fokus kepada tugas baru ini dan saya tidak sabar untuk memulakannya esok.

"Saya tahu sukar untuk menjelmakan kejayaan sebagaimana di tempat lain, jadi pendedahan dan tekanannya juga berbeza."

Dalam masa sama, Sporting mengumumkan pelantikan jurulatih pasukan simpanan yang juga bekas pemain, Joao Pereira, sebagai penggantinya.