Pasukan bola sepak negara kini dikritik bukan hanya kerana persembahan mereka di atas padang tetapi jersi baru mereka turut dipertikaikan.

Anak buah Datuk K.Rajagobal masih buntu mencari kemenangan dalam ketiga-tiga perlawanan persahabatan mereka sebelum ini. Malaysia kalah 1-0 kepada Vietnam dan tumpas 2-0 kepada Thailand sebelum mengikat Hong Kong 1-1 di Stadium Shah Alam Rabu lalu.

Selepas ini akuad Harimau Malaya akan menentang Bangladesh dalam perlawanan persahabatan terakhir 20 Nov ini sebelum turun menentang Singapura dalam perlawanan pembuka tirai Piala AFF pada 25 Nov di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Laman Facebook Astro Awani menerima pelbagai reaksi dari peminat Harimau Malaya mengenai jersi baru yang diperkenalkan kepada umum baru-baru ini.

Ada yang tertarik dengan rekaan baru tetapi ada juga yang menyatakan bahawa ianya tidak begitu menarik berbanding rekaan-rekaan lepas.

Jilin Mae Eymbha menyatakan bahawa “lama lagi best pada pendapat aku” manakala Encik Adie Ruslan berpendapat “Nampak aneh, seperti ada sesuatu yang tidak lengkap pada bahagian tengah jersi.”

Jon Rico pula berkata ianya “nampak macam pemain pakai vest...”

Namun demikian, ada yang memujinya. MIlly Dolly dengan singkat berkata “nice...”

Akan tetapi Napsiah Wan Salleh yang memberikan rumusan paling tepat “Ok lah tu ... jersi baru. Tapi permainan mesti cemerlang dan menang.”