KOTA BHARU: Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) meminta orang ramai merujuk buku panduan berjudul 'Bendera Kita Jalur Gemilang' keluaran jabatan berkenaan bagi mengetahui tatacara untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan cara yang betul.

Pengarah Kanan (Pengurusan) JaPen, Naim Fahmi Ahmad Tajuddin berkata, panduan tatacara berkenaan juga boleh didapati di semua platform media sosial JaPen termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan juga Twitter.

Beliau berkata, panduan tatacara untuk mengibarkan Jalur Gemilang sangat penting bagi menghormati bendera negara, sekali gus mengelak berlaku kesilapan dalam pemasangannya yang boleh menyentuh sensitiviti.

"Buku panduan ini mengandungi maklumat diuar-uarkan di semua platform, kita maklumkan cara untuk menggantung Jalur Gemilang termasuk bagi jenis banting, berbentuk segi tiga dan sebagainya," katanya pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 Peringkat Negeri Kelantan di Dataran Wawasan Datuk Azis Yacub, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, di sini, pada Isnin.

Turut hadir Pengarah JaPen Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.

Pada Ahad media melaporkan polis menahan seorang warga emas bagi membantu siasatan insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah premis bangunan, di Jalan Dato Sagor, Kuala Kangsar. - BERNAMA