Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia Soon Boon Hua berkata tindakan mengibarkan bendera negara lain tidak dirancang dalam tentatif sedia ada oleh pihak pengelola.
"Sebagai pihak pengelola, saya sekali lagi memohon maaf atas insiden terbabit dan akan meneliti segala aspek yang perlu dibaiki demi menjayakan program itu," katanya menerusi laman Facebook persatuan berkenaan hari ini.
Beliau berkata sambutan Guan Gong Sedunia merupakan program yang telah diraikan sejak bertahun yang lepas dan dianjurkan di beberapa negeri dari Johor ke Pulau Pinang, dengan Perak merupakan antara negeri yang terlibat.
Soon berkata dalam setiap program sambutan di pelbagai negeri, pihak pengelola akan mengibarkan bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang sebagai simbol patriotisme dan perarakan sambutan di Teluk Intan juga tidak terkecuali.
Sejak semalam, tular di media sosial video sekumpulan peserta mengibarkan bendera China pada sambutan pesta terbabit.
-- BERNAMA