Ringkasan AI
- Lebih 200 rakyat Malaysia berhimpun di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing untuk menyambut Hari Kebangsaan ke-67, termasuk pegawai kedutaan, pelajar Malaysia, dan beberapa tenaga pengajar serta penuntut warga China dari Beijing Foreign Studies University.
- Timbalan Ketua Perwakilan Malaysia di Beijing, Norfarina Mohd Azmee, menekankan pentingnya semangat patriotik dan kebebasan minda. Majlis dimulakan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang dan lafaz ikrar, diikuti dengan ucapan yang menyeru rakyat Malaysia di China untuk mendaftarkan diri di laman web ekonsular.kln.gov.my.
- Penuntut Malaysia di Beijing menyatakan kegembiraan mereka menyambut Hari Kebangsaan di luar negara dan menonjolkan semangat patriotik melalui pakaian tradisional dan hiasan bertemakan Jalur Gemilang.
Sambutan itu dihadiri oleh Timbalan Ketua Perwakilan Malaysia di Beijing Norfarina Mohd Azmee serta pegawai-pegawai kedutaan dan keluarga masing-masing.
Turut menyertai sambutan Hari Kebangsaan itu ialah penuntut Malaysia di universiti-universiti serta rakyat Malaysia yang menetap di ibu negara China itu, selain beberapa tenaga pengajar serta penuntut warga China dari 'Beijing Foreign Studies University' yang sedang mengikuti pengajian Bahasa Melayu.
Majlis yang bermula pada 8 pagi itu dimulakan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang dengan iringan lagu Negaraku sebelum diteruskan dengan lafaz ikrar dipimpin oleh Penasihat Kedutaan (Kastam), Kedutaan Besar Malaysia di Beijing Noormad Razamussein Ismail.
Norfarina berkata bertepatan dengan tema Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, majlis pada pagi ini merupakan wadah untuk warga Malaysia di Beijing membangkitkan semangat patriotik dan menyemarakkan lagi penghayatan kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk yang berada di perantauan.
"Selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semua rakyat Malaysia perlu mencapai aspirasi 'merdeka rakyat'.
"Ia bermaksud, kita hendaklah menjadi sebuah masyarakat yang mempunyai minda dan jiwa yang merdeka dan tidak dibelenggu dengan mentaliti atau naratif penjajah," katanya kepada Bernama selepas program itu.
Selain itu, dalam ucapannya beliau menyeru semua rakyat Malaysia di China terutamanya di Beijing agar mendaftarkan diri masing-masing di laman web ekonsular.kln.gov.my agar memudahkan pihak kedutaan untuk memastikan keberadaan warganegara ketika di dalam situasi-situasi kecemasan, selain untuk memastikan kepentingan serta kebajikan rakyat Malaysia di luar negara.
Sementara itu, penuntut Malaysia yang tinggal di Beijing, China teruja dengan sambutan Hari Kebangsaan anjuran Kedutaan Besar Malaysia itu.
Bagi penuntut tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Politik Antarabangsa, Universiti Peking Cheryl Chong Yee Ting, 18, berkata ia merupakan pengalaman pertamanya menyambut Hari Kebangsaan di luar negara dan menganggapnya sebagai amat bermakna bagi dirinya.
"Ini kali pertama saya berada di luar negara, saya sangat teruja dengan sambutan Hari Kebangsaan dan untuk program hari ini, saya memakai baju tradisional keturunan saya dari Sabah.
"Program seperti ini sangat bagus, selain dapat mengeratkan perhubungan, kita juga dapat terus menyemarakkan semangat patriotik dalam diri kita," katanya.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Universiti Beijing Jiatong Syahidatul Najiihah A. Rahim, 23, pula berkata walaupun jauh dari negara tercinta, ia tidak mematahkan semangatnya untuk memperagakan pakaian dan hiasan yang bertemakan warna Jalur Gemilang.
"Saya sangat sayang pada negara, ini sahaja yang boleh saya tonjolkan sebagai tanda semangat patriotik yang sangat mendalam di dalam diri," katanya yang mengambil masa selama dua jam bagi membuat segala perhiasan.
-- BERNAMA