KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat untuk bersama lebih 50,000 pengunjung bagi meriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) dekat sini pada Sabtu.

Lebih istimewa, tahun ini merupakan tahun pertama Al-Sultan Abdullah berangkat selaku tetamu utama sebagai Sultan Pahang setelah selamat menyempurnakan pemerintahan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 selama 5 tahun di Istana Negara.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Acara pembukaan dimulakan seawal jam 8.30 pagi dengan bacaan doa diikuti upacara menaikkan Jalur Gemilang dan nyanyian lagu Negaraku, lafaz ikrar, laungan merdeka serta persembahan pembukaan dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang serta pertunjukan tempur tanpa senjata daripada 4 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja Mekanize.

Seramai 4,145 peserta dan 563 kenderaan daripada 111 kontinjen memeriahkan acara perbarisan dan perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Pahang itu.

Acara perbarisan dan perarakan yang bermula kira-kira jam 9 pagi itu melibatkan 72 kontinjen berjalan kaki terdiri daripada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), persatuan, agensi kerajaan dan pasukan beruniform.

Turut mengambil bahagian 39 kontinjen berkenderaan termasuk daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan tujuh kenderaan perisai ACV Adnan, AV8 Gempita (7) dan sebuah kenderaan MM Pack Howitzer.

Acara sambutan pada tahun ini turut digamatkan dengan kehadiran enam pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM daripada No 12 Skuadron, Pangkalan Udara Gong Kedak yang membuat 'flypass' di ruang udara Bandaraya Kuantan.

Selain itu, pengunjung turut terpukau dengan aksi persembahan demonstrasi aturgerak pasukan penggempur 4 Briged (Mekanize) memusnahkan musuh dengan menggunakan aset-aset mekanize di penghujung perarakan. -Sinar Harian