Ringkasan AI
- Meta Tidak Bersedia untuk Isu Teknikal: Pihak Meta enggan menjawab isu-isu teknikal yang dibangkitkan dalam mesyuarat bersama Pejabat Perdana Menteri. Contohnya, mereka tidak memberikan jawapan mengenai siaran yang dimuat naik oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada bulan Mei yang kemudiannya diturunkan.
- Penolakan Penjelasan Berkaitan Siaran: Penjelasan Meta mengenai isu semasa, seperti siaran langsung Himpunan Pembebasan Palestin, juga tidak diterima. Mereka mengatakan ada isu hak cipta berkaitan lagu yang dinyanyikan oleh Faizal Tahir, tetapi mengapa hanya siaran dari RTM yang disekat.
- Permohonan Maaf dan Garis Panduan: Meskipun demikian, Meta memohon maaf atas siaran media sosial oleh Perdana Menteri mengenai pemimpin Hamas Allahyarham Ismail Haniyeh yang dipadamkan. Menteri Komunikasi telah meminta agar Meta memastikan perdana menteri diberi taraf serupa dengan ketua kerajaan lain dalam hal penyelidikan dan layanan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebagai contoh, Meta tidak dapat memberikan jawapan berhubung siaran yang dimuat naik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan Mei lalu yang diturunkan.
Malah, penjelasan mereka berhubung isu semasa siaran langsung Himpunan Pembebasan Palestin pada Ahad, juga tidak dapat diterima.
"Mereka mengatakan ada isu intellectual property melibatkan lagu yang dinyanyikan Faizal Tahir tetapi kenapa hanya siaran dari RTM yang disekat.
"Sebagai contoh Harian Metro bersiaran tanpa sekatan, jadi saya memaklumkan saya tidak boleh terima jawapan mereka. Saya telah nyatakan senarai media yang ingin bersiaran secara langsung dalam Facebook dan minta kerjasama mereka untuk pastikan tiada isu.
"Saya terkilan dengan kejadian tersebut dan saya tidak boleh terima penjelasan yang diberi Meta," katanya ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan kementerian, pada Selasa.
Dalam masa yang sama, Fahmi berkata, perdana menteri mengambil maklum dan menerima permohonan maaf Meta, dan mereka telah diminta untuk berhubung dengan PMO dari masa ke semasa dalam hal berkaitan garis panduan.
"Kami dimaklumkan garis panduan Meta khususnya isu geopolitik akan berubah dari semasa ke semasa, kadangkala dimaklumkan kadangkala tak dimaklumkan.
"Sebagai contoh pernah perkataan syahid juga tak dibenarkan dalam Meta tapi kami dimaklumkan, susulan usaha yang dipelopori pasukan yang kami temui semalam, perkataan itu kini tidak menjadi isu.
"Saya juga telah minta supaya Meta memastikan perdana menteri diberi taraf serupa dengan ketua kerajaan yang lain sekiranya ada perkara tertentu untuk diteliti, beliau harus diberi layanan mesti sama seperti ketua kerajaan lain jangan ada double standard,"katanya lagi.
Terdahulu, Meta, syarikat pemilik Facebook memohon maaf atas siaran media sosial oleh Perdana Menteri mengenai pemimpin Hamas Allahyarham Ismail Haniyeh, yang dipadamkan.
Ini selepas Pejabat Perdana Menteri menyampaikan bantahan terhadap wakil Meta semasa mesyuarat pada Isnin.