Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata justeru, kerajaan berharap kejadian itu tidak berulang pada masa akan datang.
"Perdana Menteri (PM) memaklumkan bahawa sahabat-sahabat beliau termasuk yang berada di Timur Tengah telah membaca berita tersebut, bermaksud ia telah sampai seantero dunia, jadi PM menerima permohonan maaf itu dan pada masa sama, kita berharap kejadian seperti ini tidak berulang.
"Semalam saya menyampaikan kepada pihak Meta, saya mohon supaya mereka dari semasa ke semasa dapat berhubung dengan Pejabat Perdana Menteri untuk memberikan apa-apa maklumat terkini tentang garis panduan sekiranya ia berubah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Fahmi juga berkata beliau dimaklumkan bahawa garis panduan platform media sosial sentiasa berubah khususnya berkaitan isu geopolitik namun perkara itu kadang-kadang dimaklumkan dan ada kalanya tidak.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata suatu ketika dahulu, perkataan seperti 'syahid' tidak dibenarkan oleh Meta namun selepas usaha yang dipelopori oleh pasukannya pada pertemuan semalam, ia kini dibenarkan.
"Saya juga telah minta supaya pihak Meta memastikan Perdana Menteri diberikan taraf yang serupa dengan ketua-ketua kerajaan lain di seluruh dunia... jangan ada dwistandard dalam hal ini," katanya.
Semalam, Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri telah memanggil Meta untuk memberikan penjelasan berhubung tindakan menurunkan kandungan berkaitan isu Palestin di platform media sosial Perdana Menteri.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pula melahirkan rasa jelik terhadap tindakan Meta menurunkan hantaran Anwar yang menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan terhadap Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh yang dibunuh baru-baru ini di platform Facebook serta Instagram masing-masing pada 14 Mei dan 30 Julai lepas.
-- BERNAMA