KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kejayaan Natasha Mohamed Roslan sebagai luar biasa selepas menjadi atlet boling wanita pertama negara merangkul kejuaraan Kejohanan Piala Dunia 2025 di Kowloon, Hong Kong.

Perdana Menteri dalam hantaran di Facebook berkata, pencapaian atlet berusia 28 tahun itu sangat membanggakan negara.

"Hebat! Memang luar biasa! Natasha Roslan melakar sejarah menjadi pemain boling wanita pertama negara menjuarai Piala Dunia," tulis Perdana Menteri.

Dalam masa sama, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada pemain tenpin boling negara Muhammad Rafiq Ismail yang meraih pingat perak bagi acara perseorangan lelaki.

Perdana Menteri berharap kejayaan kedua-dua individu itu menjadi sumber inspirasi kepada yang lain untuk mengharumkan nama Malaysia di persada sukan dunia.

Natasha menamatkan kemarau 53 tahun negara tanpa kejuaraan kategori individu wanita di Kejohanan Piala Dunia 2025 bagi acara berkenaan sejak dipertandingkan pada 1972.

Ia juga menjadi koleksi gelaran dunia ketiga buat atlet kelahiran Selangor itu selepas mengungguli Kejohanan Tenpin Boling Dunia 2023 di Salmiya, Kuwait dan menjuarai kejohanan sama dalam acara berpasukan wanita bersama Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Datuk Shalin Zulkifli pada edisi 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat.