Pertembungan blokbuster dua gergasi Eropah akhirnya memihak kepada juara Piala Dunia 2010, Sepanyol, yang lebih mendominasi perlawanan separuh akhir Euro 2024 menewaskan seteru utama, Perancis, di Allianz Arena, Munich, sebentar tadi.
Sepanjang 90 minit permainan, anak-anak buah Luis de la Fuente memberikan asakan tanpa henti selain membuat beberapa percubaan berbahaya untuk memberikan kelebihan buat Sepanyol menguasai aksi secara keseluruhan.
Pemain Barcelona, Lamine Yamal, menjadi pemain termuda menjaringkan gol sepanjang kejohanan berprestij Eropah itu dianjurkan sejak 1960 sebelum pemain RB Leipzig, Dani Olmo, menggandakan kelebihan buat skuad La Roja.
Skuad kendalian Didier Deschamps sekadar mampu membuka jaringan menerusi tandukan pemain Paris Saint Germain (PSG), Kolo Muani, menerusi hantaran daripada pemain sensasi, Kyllian Mbappe, pada awal permainan.
Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat menandakan Sepanyol berjaya mara ke perlawanan akhir Euro 2024 sebanyak lima kali dan akan bertemu sama ada England atau Belanda pada Sabtu ini. - Stadium Astro