LUCIANO Spalletti menyasarkan untuk mengembalikan Itali ke tahap terbaik ketika menghadapi ujian Croatia, awal pagi esok sambil mengakui telah menerapkan pendekatan kurang tepat dalam kekalahan mereka kepada Sepanyol.

La Roja memperoleh tempat teratas Kumpulan B selepas kemenangan 1-0 ke atas Itali menerusi jaringan sendiri Riccardo Calafiori pada minit ke-55.

Walaupun memberikan saingan sengit, Itali bergelut untuk menguji gawang seteru itu apabila hanya menguruskan empat percubaan dalam perlawanan itu sementara Unai Simon hanya perlu menyelamatkan satu percubaan. 

Spalletti telah mempertaruhkan kesebelasan utama yang sama ketika menghadapi Albania sebelum menggunakan kesemua lima pertukarannya pada minit ke-64.

Justeru, ketua jurulatih itu mengakui usaha berkenaan belum memadai, namun yakin skuad Azzuri akan bangkit semula awal pagi esok. 

“Sudah tentu, selepas perlawanan seperti itu, terdapat tanggapan dan idea untuk mengubah sedikit pasukan,” kata Spalletti.

“Saya mungkin melakukan kesilapan kerana tidak mengubah strategi dengan lebih segera selepas prestasi yang kami pamerkan. 

"Tetapi saya fikir ia adalah satu perjudian untuk mengubah apa-apa berdasarkan apa yang telah diperkatakan sejak kebelakangan ini.

"Kini kami menyedari bahawa terdapat sedikit keletihan dan aksi berkarat daripada segi membuat keputusan, kami pasti akan mengubah keadaan." - Stadium Astro