BELGIUM tidak bimbang tentang tanggapan ramai bahawa mereka bukan salah sebuah pasukan pilihan untuk mendominasi Euro 2024 dan menurut pertahanan, Timothy Castagne.

Generasi emas Belgium meraih pingat gangsa dalam Piala Dunia 2018 yang menjadi penamat terbaik mereka dalam mana-mana pertandingan sejak mereka muncul naib juara di Euro 1980.

Mereka dikejutkan Wales di peringkat suku akhir temasya 2016 dan tunduk kepada Itali di peringkat yang sama dalam edisi empat tahun kemudian selain dikecewaan di peringkat kumpulan Piala Dunia di Qatar.

Mereka mengungguli kelayakan ke Euro 2024 - kejayaan keenam berturut-turut - dan kini belum tewas dalam 40 perlawanan kelayakan Piala Dunia/Euros (35 kemenangan dan lima kali seri).

Tetapi dengan nama Thibaut Courtois diketepikan daripada skuad kendalian Domenico Tedesco itu sementara Eden Hazard mengambil keputusan untuk bersara selepas kempen Piala Dunia 2022, hanya sedikit yang menganggap The Red Devils untuk menikmati kejayaan di Jerman.

Begitupun, status itu sedikit pun tidak membimbangkan Castagne yang memberitahu wartawan: "Kumpulan ini adalah gabungan pemain pengalaman dan remaja yang bagus. 

“Saya tidak berada di sini untuk membuktikan kepada anda bahawa kami mempunyai peluang, ia perlu dibuktikan di atas padang.

"Kami tidak kisah jika dunia luar melihat kami sebagai pasukan pilihan. Perkara yang paling penting ialah kami percaya bahawa kami mampu mencapai sesuatu yang indah." - Stadium Astro