LEIPZIG: Pasukan tumpuan, Portugal, menarik nafas lega apabila berjaya mencatatkan kemenangan berdepan lawan yang tidak disangka-sangka, Czechia, dalam perlawanan Kumpulan F EURO 2024, di Stadium Leipzig, awal pagi Rabu.

Pemain Selvia Praha, Lukas Provod, terlebih dahulu meletakkan Czechia di depan untuk menutup ruang pemain Portugal mendominasi aksi itu.

Juara EURO 2016 itu perlu berterima kasih kepada pertahanan lawan, Robin Hranac, atas jaringan sendiri yang dilakukannya menyelamatkan maruah Portugal ketika ketinggalan selama 20 minit permainan.

Kemasukan penyerang Liverpool, Diogo Jota, memberikan suntikan tambahan sekali gus mengubah landskap perlawanan untuk membantu Portugal mencari kemenangan pertama.

Meskipun jaringannya dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR), namun, Jota tetap komited membantu serangan Portugal memasuki minit akhir aksi Kumpulan F itu.

Pemain gantian, Francisco Conceicao, menjadi wira buat pasukan keenam dunia tersebut susulan gol lewatnya memberikan tiga mata penuh buat Portugal dalam aksi pertama mereka.