Bekas Ketua Jabatan Pemasaran dan Tanggungjawab Sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sayf Ismail berpendapat, badan induk bola sepak negara itu boleh disifatkan sebagai gagal dalam pembangunan akar umbi.
Justeru, Sayf yang bersedia menjadi calon Presiden FAM dalam kongres pemilihan pada 15 Februari depan berikrar, antara manifesto yang akan dilaksanakan beliau ialah merombak semula piramid bola sepak negara.
“Apabila kita melahirkan bakat muda tempatan ini, maka kebergantungan kita kepada naturalisasi juga berkurang dan ini mampu membawa keseimbangan lebih baik dalam piramid bola sepak negara,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Beliau menambah, sekiranya berpeluang menerajui FAM, soal tadbir urus akan ditambah baik kerana ia kunci utama meraih kepercayaan pemegang taruh memandangkan laporan kewangan terdahulu disifatkannya sebagai kurang terperinci.
“FAM perlu terbuka dalam perbelanjaan kerana banyak pemegang taruh dan pihak korporat perhati, mereka sudah tentu akan menyokong jika tahu ke mana setiap ringgit itu digunakan FAM.
“Tadbir urus juga perlu baik. Laporan kewangan sebelum ini saya lihat agak simple, beberapa perbelanjaan untuk kejohanan kurang lengkap, kita tidak boleh ekstrak daripada laporan kewangan itu ke mana semua kos dibelanjakan sebab kurang terperinci,” ujarnya.
Kongres pemilihan nanti akan memilih barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM yang baharu apabila penggal 2021-2025 bakal berakhir dan senarai calon akan diumumkan hujung Januari ini.
Sebelum ini, Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatannya.