KUALA LUMPUR: Perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong perlu berani mengatasi trauma kecederaan bagi memulakan semula karier badminton dengan semangat baharu, kata Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky.

Rexy berkata pihaknya komited membantu pemain berusia 25 tahun itu untuk kembali ke prestasi terbaik termasuk mencari pakar psikologi yang sesuai bagi memulihkan kesan mendalam dihadapi Tze Yong akibat kecederaan sebelum ini.

"Saya harap Tze Yong boleh melepaskan traumanya, yang belum hilang 100 peratus. Beri penekanan terhadap fikirannya jika kesan sakit (dialaminya) adalah trauma daripada kesan terdahulu. Itu yang perlu kita usahakan dahulu.

"Hal ini kerana laporan daripada jurulatih semasa pertemuan terakhir bersama doktor, Tze Yong sudah tidak apa-apa dan perlu menjalani pemulihan kekuatan di kaki," katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini pada Jumaat.

Tze Yong sebelum ini terlepas peluang membuat penampilan sulung pada Sukan Olimpik 2024 selepas BAM mengesahkan pemain itu masih belum bersedia meneruskan latihan dan pertandingan peringkat tinggi kerana berisiko memburukkan lagi kecederaan belakangnya.

Kecederaan Tze Yong bermula pada Terbuka Malaysia 2024 yang menyaksikan beliau mengalami kecederaan koyak otot pada bahagian belakang diikuti kecederaan tulang belakang pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang menyaksikan beliau perlu melalui beberapa siri pembedahan.

Pakar Perubatan Institut Sukan Negara (ISN) Dr Jasmiza Khuzairi Jasme sebelum ini menyifatkan kes Tze Yong sebagai satu kes daripada 2,000 pembedahan kerana jarang berlaku.

-- BERNAMA