Pencapaian itu sedikit baik berbanding sebutir gangsa menerusi beregu lelaki oleh Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Tokyo 2020, namun bukan sesuatu yang boleh diagung-agungkan dalam misi mencapai matlamat utama.
Pingat gangsa Malaysia diperoleh menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia yang masing-masing bangkit mengatasi lawan masing-masing dalam pertarungan epik dalam penentuan pingat gangsa.
Pearly Tan-M Thinaah yang mencipta beberapa kejutan untuk menjadi beregu wanita pertama Malaysia mara ke separuh akhir menamatkan saingan di kedudukan keempat selepas tewas kepada Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun pada penentuan gangsa manakala perseorangan wanita Goh Jin Wei pula menamatkan saingan di peringkat kumpulan.
Beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang turut mempamerkan aksi mantap pada peringkat kumpulan dengan mengatasi pilihan kedua Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China disingkirkan oleh Kim Won Ho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan pada suku akhir.
Dengan penantian emas kem badminton dilanjutkan sekurang-kurangnya empat tahun lagi hingga edisi Los Angeles 2028 (LA28), Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata semua pihak harus mula 'berkorban' masa dan tenaga dari sekarang, terutamanya pemain.
Beliau menekankan bahawa semua pemegang taruh perlu melaksanakan perkara-perkara lebih hebat, yang sebelum ini dianggap mustahil sekiranya betul mahu menggenggam emas pada LA28.
Rexy berkata untuk Paris 2024, segala persiapan telah dibuat menerusi sokongan tambahan daripada program Road to Gold (RTG), yang ditubuhkan pada tahun lepas, serta tidak menganggap misi itu gagal apabila pulang dengan gangsa.
"Untuk ke depan, kita harus mula dari sekarang, jangan 2027 baru nak bincang apa kita nak capai. Daripada sekarang perlu tahu apa kita nak buat, belajar dari apa kita telah lakukan sekarang, buang yang teruk dan tambah baik yang kurang. Mungkin tingkatkan intensiti latihan dan kem latihan lebih lama.
"Contohnya macam China, mereka adakan simulasi penuh Olimpik dengan pemain tinggal di hotel, menaiki bas untuk bermain di stadium besar, seolah-olah seperti temasya sebenar.
"Pemain sendiri pun kena ada pengorbanan dari sekarang, jangan tunggu dua atau tiga bulan lagi Olimpik baru nak mula. Apa yang kita lakukan ini cukup baik, cuma harus susundan mana-mana yang kurang kita kena perbaiki, dan kita harap RTG dilanjutkan," katanya.
Rexy berkata Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, akan menjadi penanda aras seterusnya bagi barisan kejurulatihan untuk mengenal pasti pemain yang mampu membawa cabaran pingat di LA28.
Beliau yakin Aaron-Wooi Yik mampu beraksi di LA28 jika bebas kecederaan selain Pearly-Thinaah serta Tang Jie-Ee Wei yang masih muda untuk meneruskan cabaran pada Olimpik seterusnya.
Rexy berkata pemain perseorangan lelaki seperti Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Justin Hoh serta beregu lelaki seperti Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri, Junaidi Arif-Yap Roy King, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun antara pemain yang dilihat berpotensi untuk ke LA28.
Beliau berkata ABM juga lebih terbuka untuk memudahkan pemain profesional menjalani latihan di akademi itu sekiranya berpotensi ke Olimpik, namun ia memerlukan persetujuan daripada kedua-dua belah pihak mengenai beberapa perkara yang perlu dipatuhi.
-- BERNAMA